Selasa, 28 Mei 2013

...SURIRUMAH: SUATU KERJAYA YANG HEBAT!!! - PART 2...

          Alhamdulillah, dengan izin Allah s.w.t dapat saya menyambung semula apa yang telah saya coretkan pada artikel lepas iaitu berkaitan SURIRUMAH, jadikannya suatu kerjaya! Mudah-mudahan apa yang telah saya kongsikan pada coretan versi PART 1 yang lalu itu, walaupun singkat sahaja coretannya namun diharap dapat memberikan makna yang mendalam serta memotivasikan diri anda semua para pembaca di luar sana.

Ingat, berbanggalah kita walaupun status kita hanya surirumahtangga! Kerana, sebenarnya kerjaya kita inilah lebih besar pengorbanannya, lebih banyak ganjarannya dan lebih mulia pangkatnya bukan di dunia sahaja malahan di sisi Allah s.w.t. Itu yang paling penting! Jadi, tak salah jika kita puji sikit diri kita yang bergelar surirumah ini dengan satu perkataan...TERBAIEKKK!!! 


          Baru-baru ini dua orang anak saya telah dimasukkan ke dalam wad ekoran dijangkiti oleh ROTAVIRUS. Alangkah sedih hati apabila melihat anak-anak yang kebiasaannya sihat, ceria, terlompat sana-terlompat sini...tiba-tiba menjadi murung, pucat, lembik-letih dan lesu. Tidak bermaya dan tidak berupaya. Semuanya kerana mengalami demam panas, muntah-muntah dan akhirnya cirit-birit yang kerap. Inilah simptom-simptom jika anak-anak dijangkiti ROTAVIRUS.

          Ya Allah, hanya tuhan yang tahu jiwa saya seorang ibu apabila dua orang anak sekali gus perlu dijaga rapi di dalam wad...seorang diri! Sekadar perkongsian ilmu buat kita sesama kita, ROTAVIRUS ini adalah penyakit berjangkit yang ke-2 paling bahaya dan mampu membunuh kanak-kanak sekiranya tidak mendapatkan rawatan yang tepat dengan kadar segera! Jadi, jika anak-anak anda mengalami perkara yang sama sepertimana anak-anak saya ini...dinasihatkan segeralah berjumpa dengan doktor. Janganlah dilambat-lambatkan, risau nanti kesan bahaya pada anak.
 

         Bukanlah kisah ROTAVIRUS ini yang saya ingin ceritakan dengan lebih lanjut. Inn shaa Allah, jika ada kesempatan saya akan kongsikan mengenai tersebut. Tetapi, sepanjang 4 hari 3 malam di dalam wad menjaga dua orang anak yang sakit itu...ada sesuatu yang bermain difikiran saya. Dan, tanpa saya sedari saya sendiri yang mengungkapkan "Nasib baiklah dah tak kerja, boleh jaga sendiri anak-anak di dalam wad ini walaupun banyak hari tanpa risau-risau".


          Bagi anda yang tidak pernah bekerja mungkin tidak mengerti sangat akan situasi ini. Tetapi saya percaya jika anda seorang yang mempunyai kerjaya, anda tentu faham dengan maksud dan kenapa ungkapan sebegitu terkeluar dari mulut saya. Saya pernah alaminya, dan saya yakin anda juga! Jika anda belum mengalaminya, suatu hari nanti anda akan memahami tentang apa yang saya ceritakan ini. Mungkin akan ada betulnya.

 
         Kalau dahulu sewaktu bekerja, saya masih ingat di mana situasi yang sama berlaku yang memerlukan saya memberikan perhatian kepada anak yang sakit. Ya Allah, bermacam-macam perkara yang perlu saya lakukan dan fikirkan dalam masa yang sama otak berserabut fikirkan tentang kesihatan anak. Mana tidaknya, anak yang sakit dengan tiba-tiba tentulah esok harinya kita juga akan bercuti secara mengejut! Dan, bercuti dengan tiba-tiba pula bukannya mudah untuk mengatur urusannya!

          Mula-mula nak kena telefon bos untuk dapatkan kelulusan bercuti kecemasan. Jika bos setuju dan faham dengan apa berlaku, kena pula telefon kepada pengurus jadual waktu untuk membatalkan segala urusan kita pada hari tersebut. Kalau bernasib baik, pengurus jadual boleh aturkan untuk cari pengganti bagi melangsungkan kerja kita pada hari itu. Ini sudah tentulah akan terpaksa menyusahkan orang lain pula kerana tidak pasal-pasal kena galas tanggungjawab kita. Pernah terjadi ada yang sampai buat muka dengan kita gara-gara terpaksa menggantikan urusan kita secara tiba-tiba. Bagi saya ini memang tidak menyedapkan hati saya. Tapi apakan daya, kalau dah anak sakit, nak tak nak memang kerja kena tinggalkan!

          Sekiranya tidak bernasib baik pula, semua urusan itu terpaksa ditangguhkan dahulu sehinga anak sihat. Itu mungkin memakan masa selama 2, 3 hari. Jadi bayangkanlah berapa ramai pelanggan yang berurusan dengan kita terpaksa ditinggalkan dan diabaikan. Malahan ada sesetengah itu terpaksa ditangguhkan dahulu perkhidmatan kepada mereka. Bagi pelanggan yang sporting, mereka ini senang untuk berurusan dan tidak begitu memeningkan kepala. Tapi, bagi pelanggan yang tidak memahami dengan situasi kita lain pula ceritanya. Kadangkala, reputasi kita boleh terjejas angkara sikap mereka. Apakah kita perlu salahkan mereka? Mereka adalah pelanggan kita dan, mereka berhak. Tapi, anak-anak juga ada hak ke atas kita? Tak ke semua ini memeningkan???!!!

Sebab tu lah saya rasa bersyukur sangat dengan statu seorang surirumah sekarang ini. Bukan apa, sekurang-kurangnya benda-benda yang memeningkan dan menyerabutkan macam dulu tu dah tak ada lagi. Sekiranya anak-anak atau suami memerlukan, bila-bila masa sahaja saya ada di sisi mereka untuk berikan perkhidmatan terbaik HANYA buat mereka. Tak payah nak fikir pasal kelulusan cuti ke, tak yah nak fikir sal bos ke, mintak kebenaran la apa la...tak pun nak bermasam-masam muka ngan orang tu...orang ni atau serabut kepala nak fikirkan tentang pelanggan-pelanggan yang sporting atau menyakitkan hati. Semua itu dah tak payah fikir! Sangat menenagkan hati dan dah tidak menyemakkan kepala. (Sorry kalau bahasa kasar sikit, macam luah perasaan geram pun ada...hehehe...).

         Sebenarnya, bila saya fikir-fikir, renung-renung dan buat sedikit soal selidik. Terdapat banyak kebaikan dan keburukan bagi seseorang bergelar wanita yang bekerjaya versus wanita yang menjadi surirumah tangga sepenuh masa. Tetapi ini adalah berdasarkan pengalaman dan pendapat diri saya sendiri. Jika mana-mana individu yang merasakan atau fikirkan berlainan itu, terpulang pada andalah. Hak pemikiran individu itu sendiri. Cuma, saya kongsikan sahaja. Jangan sampai anda semua bergaduh pula tentang hal ini. Bekerjaya atau surirumah, dua-dua pun suatu PEKERJAAN! Dan, setiap manusia berhak untuk menentukan pekerjaan apa yang dirinya ingini.=)

 
...bersambung lagi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan