Rabu, 31 Oktober 2012

...KUASA TUHAN...TIADA TANDINGAN...


Mohammad Naufal Bin Mohd Nadhir...itulah gelaran putera kesayangan ku yang telah pun selamat dilahirkan pada 29 September 2012 yang lalu. Tanggal 29 Oktober 2012 ini pula, genaplah usianya 30 hari...Alhamdulillah...setakat ini semuanya di dalam keadaan yang baik dan Naufal seorang anak yang sangat baik. =)
                 Terima kasih Ya Allah, ya tuhanku...atas kurniaan-Mu. Sesungguhnya, hanya Dikau sahaja yang lebih mengerti betapa bermaknanya kehadiran Naufal dalam hidup ku ini. Sebagai seorang ibu, aku mendoakan agar putera ku ini sentiasalah dilindungi-Mu, sihat sejahtera selalu, dipanjangkan usianya dan membesar menjadi anak yang soleh. Sepertimana doa ku yang tidak putus-putus disepanjang mengandungkannya...
"Ya Allah...ya Rahman ya Rahim,
Aku memohon padamu..
Jadikanlah anak di dalam kandungan ku ini
seorang yang soleh,
 yang sentiasa beriman kepadaMu,
yang sentiasa mencari keredhaanMu...
jadikanlah dia sebagai seorang
yang menjadikan keperibadian Rasulullah sebagai contohnya,
 mempunyai rupa paras yang menarik seperti Nabi Yusoff a.s,
 cerdik pandai seperti Luqman,
dan mencintai ilmu seperti Imam Syafie...
Sesungguhnya,
hanya Dikau yang dapat memakbulkan segala doa,
Mudah-mudahan berjayalah anak ini,
di dunia dan akhirat...amin rabbanal alamin..."

                Begitulah harapan aku sebagai seorang ibu. Aku percaya begitulah juga harapan kebanyakkan ibu yang lain apabila setiap kali melahirkan anak-anak mereka. Tidak salah rasanya untuk aku meletakkan harapan padanya. InsyaAllah...akan aku cuba membentuk, mendidik dan memimpinnya ke arah yang aku harapkan itu. Namun, semuanya juga tertakluk pada ketentuan-Nya. Aku juga percaya semuanya juga bergantung kepada diri Naufal sendiri jua...

                Mengenangkan kembali saat-saat kehadirannya di dalam hidupku dan suami, bagaikan bulan jatuh ke riba...dia hadir pada saat-saat aku benar-benar memerlukannya. Tatkala hatiku masih berduka, berita kehadirannya membalut segala luka. Benarlah janji-Mu ya Allah...Kau uji aku dengan mengambil arwah Nadhilah, semata-mata ingin melihat ketabahan dan kesabaran aku mengharungi dugaan itu. Kemudian Dikau kurniakan Naufal sebagai pengubatnya...Terima kasih ya Allah...Alhamdulillah...sesungguhnya kuasa Tuhan itu tiada tandingan!

                Tidak ramai yang tahu apa yang berlaku padaku selepas aku kehilangan arwah Nadhilah. Mungkin ada yang menganggap perkara itu biasa sahaja...yang hidup pasti mati juga! Tidak! Kehilangan anak yang disayangi bukanlah perkara biasa bagiku. Sembilan bulan mengandungkannya, dengan penuh kasih sayang, penat dan lelah...bagai masih terasa sakit melahirkannya...dan kemudian, tiba-tiba sekelip mata dia pergi untuk selamanya...aku tidak dapat menerimanya dengan mudah! Sebak dihati...sedih dan lara menghantui diriku ini.

                Aku kemurungan. Jiwaku kacau dan fikiranku bercelaru. Aku tidak kuat untuk mengharungi ujian itu, Ya Allah. Setiap ceruk ruang rumah bagaikan terbayang-bayang akan adanya dia. Tiap pagi, petang sehinggalah malam...masih jelas bagiku akan tangisannya. Matanya yang kelayuan mohon simpati dariku masih aku ingati, jari mulusnya menggenggam erat telunjukku disaat akhir pertemuan kami tak mungkin aku lupai...Tiap kali basah bajuku mengalirkan susunya...setiap kali itu jugalah aku menangis-nangis teringatkan dia yang kehausan...namun hakikatnya, yang perlu aku telan dan hadapi...dia sudah tiada lagi!

                Saat itu aku sakit. Saat itulah aku hampir berputus asa. Terasa ketidakadilan berlaku dalam hidupku. Mengapa aku diuji sebegini? Dari semenjak dahulu aku diuji dan terus diuji. Pelbagai ujian, dugaan, onak dan duri terpaksa aku lalui. Mengapa aku? Apakah salahku?...Semua ceritera keperitan telah aku harungi. Setiap babak cerita itu hanya tangisan yang menemani. Siapa yang lebih mengerti? kalau bukan Dikau ya Illahi...menangis...menangis...dan terus menangis...sampai bila? Sampai bila harus begini?...Hidupku di saat itu gelap...jiwaku?...kosong...=(

                Tetapi, mujur jugalah aku rasakan bila mana semua ujian ini terjadi. Bila aku fikir-fikirkan kembali, ada hikmah yang Allah ingin tunjukkan padaku sebenarnya disebalik semua ceritera keperitan itu. Sekarang aku sudah tahu...siapa yang benar-benar ada denganku di saat aku jatuh itu...dan siapa pula yang pergi menjauh. Benar kata-kata orang tua dulu-dulu, hanya sewaktu berduka dan kesusahan sahaja yang dapat menilai keihklasan seseorang kepada kita kerana ramai yang suka kita bila kita senang...tetapi berapa ramai yang ada bersama kita tatkala kita kesusahan?

                Membangkitkan kembali semangat aku...hanya suami tercinta berusaha dan terus berusaha tanpa henti. Tanpa jemu dan tanpa rasa penat...dia terus bersamaku. Mensihati dan memotivasikan kembali diri ini. Syukur padaMu ya Allah, kerana telah takdirkan padaku seorang suami yang baik hati. Semoga Dikau sentiasa melindunginya dan berikanlah dia kejayaan di dunia dan akhirat serta kebaikan buat selamanya.

                Masih aku ingat, tarikh keramat 4 April 2012...selepas 3 bulan arwah pergi...suami mengajak aku ke klinik untuk merawat kesihatan aku. Dalam hati yang masih lara dan berat, aku melangkah memenuhi kehendaknya. Diceritakan segalanya kepada doktor tersebut. Dengan hanya tersenyum penuh makna, doktor meminta aku berbaring. Setelah di'scan' dan diteliti...doktor menunjukkan aku pada skrin 'scanner'nya...Ya Allah ya tuhanku, benarkah apa yang aku lihat itu?...aku terus tersenyum lebar dan sebak terus menguasai diri...sungguh jelas kelihatan sekujur tubuh kecil yang sedang bergolek-golek di dalam rahimku! Kata doktor usianya sudah hampir 3 bulan di saat itu. Syukur ya Allah...syukur padaMu...alhamdulillah aku mengandung!

                Pada mulanya aku memang tidak percaya dengan apa yang aku lihat dan penjelasan yang doktor berikan. Ini kerana bukan sekali dua aku membuat ujian kehamilan sendiri di rumah. Semenjak Februari lagi aku seringkali membuat ujian tersebut kerana aku memang tidak datang bulan selepas bersalinkan arwah. Tetapi yang menambahkan kedukaan aku ialah, semuanya menunjukkan keputusan negetif. Itulah kuasa Allah...sekali lagi aku percaya, kuasa tuhan sememangnya tiada tandingan.

                Dari situ bermulalah semula semangat hidupku yang baru. Terasa dunia kembali terang dan aku mula boleh tersenyum ceria. Namun dalam masa yang sama semangat aku itu sebenarnya masih rapuh-rapuh. Sebab, kebimbangan akan kehilangan lagi seringkali menghantui diri. Dan disaat ini juga suatu ujian lagi terpaksa aku hadapi...iaitu untuk menghadapi kata-kata tajam dan sinis daripada 'seseorang' yang sepatutnya bersamaku disaat aku kesusahan ini...tetapi 'dia' memilih untuk menyalah dan menghukum aku. Perkara ini benar-benar menyakiti hati dan mengganggu diri. Hanya kesabaran dan berdoa sahaja senjata aku untuk menghadapi semua ini...

                Alhamdulillah, setelah 10 bulan berlalu...dan kini Naufal pun semakin hari semakin membesar. Semuanya aku rasakan sudah kembali seperti sedia kala dan bertambah baik. Walaupun 'tidak semua perkara berada dalam keadaan baik'...tetapi aku sudah semakin kuat untuk menghadpi 'perkara yang tidak baik' itu. Biarlah masalah itu diselesaikan oleh masa. Itulah kuncinya...hanya masa yang akan menentukan segalanya! Mungkin buat masa dan ketika ini 'dia' tidak faham dengan apa yang terjadi dan apa yang aku alami...sebab itu 'dia' jadi begitu...biarkanlah 'dia'...

                Aaaah...sekarang aku berasa boleh bernafas lega sedikit...Terasa seronok dan jiwa kembali terisi. Tambahan pula masa-masa aku kini setiap saat dan detik tidak pernah 'free'. Ada sahaja perkara yang perlu aku buat setiap hari. Dari seorang 'pengurus dapur' , 'bibik' sehinggalah 'pendidik' anak-anak aku sendiri. Masa yang ada juga kini aku isi dengan membaca dan membuat soalan-soalan latihan untuk para pelajar matrikulasi. InsyaAllah, berhajat juga dihati untuk membuat soalan latih tubi...bagi membantu sesiapa sahaja yang mengingini.

                Tetapi, aku tahu ujian Allah itu tidak akan berhenti. Namun dengan apa yang telah terjadi dan aku alami...insyaAllah sedikit sebanyak mengajar aku untuk tabah dan lebih cekal lagi. Semoga Allah sentiasa bersamaku. Amin...ya rabbanal alamin...=)

Sekian, terima kasih.

Ahad, 23 September 2012

...BUAT BAIK, JANGAN DIHARAP DIBALAS BAIK...

                 Sesiapa pun di dunia ini ingin merasai dirinya dihargai apatah lagi dihormati oleh orang lain. Maka, untuk itu kita seringkali dinasihatkan agar berbuat baiklah kepada orang lain jika ingin dibalas dengan kebaikan juga. Maksudnya, kalau kita inginkan orang menghargai kita...maka mulalah dengan menghargai orang terlebih dahulu. Begitu juga jika kita ingin orang lain menghormati kita, maka mulakanlah dengan menghormati orang lain. Namun begitu, persoalannya di sini ialah berapa ramaikah yang telah mengikuti nasihat ini dan menerima balasan yang seperti mana diharapkan? Malah ada juga yang berbuat baik, tetapi balasannya ditikam-tikam dan dipijak-pijak pula dari belakang! Adilkah begitu?
                Benarlah, pengalaman itu guru terhebat yang dapat mengajar kita erti hidup yang sebenar. Bila mana menempuhi saat-saat berbuat baik tetapi tidak dibalas dengan baik ini...maka, berlapang dadalah. Ikhlaskanlah hati sewaktu memberikan kebaikan pada orang itu. Supaya dengan hati yang ikhlas, kita tidak mengharapkan apa-apa balasan daripadanya. Pada mulanya memang agak sukar kerana hati merasa sakit sangat! Mana tidaknya, kadangkala kita terpaksa berkorban demi untuk berbuat baik padanya...tetapi apa yang dibalas, adalah sebaliknya! Ingatlah, jika kita bersabar dengan penuh keyakinan dan mengaharapkan balasan daripada Allah SWT...bukannya untuk mendapat balasan daripada manusia...insyaAllah, hati kita akan kembali tenang.
                  Ini kerana Allah itu Maha Adil lagi bijaksana. Keadilan akan diberikan juga buat kita jika kita benar-benar ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara yang baik itu. Biasanya Allah akan menolong kita semula dalam keadaan yang halus yang adakalanya kita sendiri tidak perasan bahawasanya itulah pertolongan Allah kepada kita atas kebaikan yang kita telah lakukan kepada orang lain. Dan, Allah juga akan bentangkan pertolongan itu dalam bentuk yang meluas yang datang daripada pelbagai pihak dan cara yang mana sudah semestinya bukannya hanya datang daripada orang yang kita berbuat baik itu sahaja. Maksudnya di sini, jika kita berbuat baik pada Si A...janganlah terlalu mengharapkan balasan yang baik juga dari Si A. Ini kerana, tidak semestinya Si A akan membalas kebaikan kita itu walaupun kita telah berbuat baik padanya! Tetapi, Allah akan membantu kita disaat-saat kita memerlukanNya dengan menghadirkan pula Si B, Si C atau apa juga cara yang akan menolong dan memberikan kebaikan kepada kita pula.   
                Kepada insan-insan yang mendapat kebaikan daripada orang lain, dinasihatkan berikanlah sedikit rasa penghargaan dan penghormatan atas kebaikan yang telah dilakukan itu. Sekurang-kurangnya ucapkanlah "Terima kasih" kepada orang yang berbuat baik kepada kita. Paling tidak pun, seandainya rasa diri tidak mampu membalasnya, maka doakanlah supaya Allah sahaja yang membalas segala jasa baik yang telah dihulurkan dengan perkara yang baik juga. Jangan pula mudah kita lupa akan kebaikan yang orang itu telah hulurkan kepada kita. Dimana, apabila kita sudah senang dek kerana mendapat kebaikan daripadanya, maka kita dengan sesuka hati melakukan apa sahaja malahan perkara-perkara yang menyakitkan hati orang yang pernah berbuat baik pada kita itu. Dan tatkala dilanda kesusahan semula...datang pula terhegeh-hegeh meminta dibelas kasihan.
                Akhir kalam, suka untuk meninggalkan pesanan ringkas di sini bagi ingatan buat diri sendiri dan juga para pembaca juga. Benarlah kata bidalan Melayu dahulu kala "Berbuat baik biarlah berpada-pada, tetapi berbuat jahat jangan sekali". Jika difikirkan semula, kenapakah kata bidalan ini menyeru kita untuk berbuat baik tetapi hendaklah berpada-pada? Jawapannya mudah sekali! Kerana...diluar sana terdapat terlalu ramai manusia yang kejam yang sentiasa dan seringkali mengambil peluang untuk mendapatkan kebaikan, tetapi tidak pandai untuk membalas dengan kebaikan juga! Tidak pandai menghargai dan tidak juga pandai menghormati orang yang telah menolong dan membantu memberikan segala yang terbaik buat mereka.
                Dan, bagi mereka-mereka yang suka berbuat baik tidak kira kepada sesiapa pula...jangan risau kalau tidak mendapat balasan yang setimpalnya daripada manusia-manusia kejam itu. Kerana Allah telah berjanji bahawasanya:
"Sesiapa melakukan amal yang baik, maka baginya pahala sepuluh kali lipat amalnya."
(Surah Al-An'Am 6:160)
Sesungguhnya mengharapkan balasan pahala daripada Allah itu lebih baik daripada kita menanti dan mengharapkan balasan kebaikan daripada manusia. Jadi...Janganlah berhenti berbuat baik, walaupun hati seringkali sakit! Sekian, wassalam...=)

...BIARLAH MASA TENTUKAN SEGALANYA...

Hari ini,
Mereka mengata aku,
Seorang yang DAIF!
Atas apa yang telah,
Aku putuskan...

Hari ini,
Mereka mengata tentang aku,
Adalah seorang yang TERSILAP!
Kerana telah memilih,
Jalan hidupku yang begini...

Pada hari ini juga,
Tanpa memikirkan perasaanku,
Tanpa berpihak padaku,
Mereka terusan mengata-ngata aku...

"Itulah dia seorang yang GAGAL!"
"Itulah dia seorang yang RUGI!"
Semata-mata kerana aku,
Memilih untuk 'BERKORBAN',
Demi keluargaku sendiri...

Dan,

Pada hari ini...di saat ini juga,
Kerana kata-kata itu,
Kerana aku yang dikatakan,
DAIF...TERSILAP...GAGAL dan RUGI,
Mereka terus menghukumku,
Terus mencemuh dan berlalu pergi...

Sesungguhnya!

Mereka yang berkata-kata itu,
Sebenarnya tidak pernah tahu,
Apa yang telah terjadi padaku,
Pada hari-hari yang LALU!

Penderitaan yang ku alami,
Hanya Allah yang Maha Mengetahui,
Tak semudah yang disangka,
Untuk aku tempuhi,
Sehingga aku menjadi begini,
Pada hari ini!

Ya Allah...ya Tuhanku,
PadaMu sahajalah daku berserah,
Kerana daku yakin sepenuhnya,
Akan takdirMu ini..adalah,
Takdir TERBAIK buat diri ini...

Kerana Dikau juga Ya Allah,
Lebih mengetahui segalanya,
Semua perkara yang telah,
Sedang dan AKAN terjadi...

Nak dilawan segala kata-kata,
Sungguh aku tidak terdaya,
Untuk itu biarlah aku,
MENDIAMKAM DIRI sahaja...

Diamku ini bukannya sia-sia,
Akan aku isi dengan DOA dan USAHA,
Demi Allah Yang Maha Adil lagi Berkuasa,
Mudah-mudahan di suatu masa,
Akan TERBUKTI juga,
PENGORBANAKU ini adalah MULIA,
Demi masa depanku,
Yang lebih BAHAGIA...

Ku mohon,

Berikanlah aku ruang...
Berikanlah aku peluang...
BIARKAN SAHAJALAH MASA...
UNTUK MENENTUKAN SEGALA-GALANYA!

Andai di saat aku telah berjaya,
Akan aku terima semua,
Walaupun mereka dahulunya,
Yang mengataku...Sehingga AKU TERLUKA...

...SETAHUN YANG BERLALU...

               Tanggal 23 Jun 2012 yang lalu, genaplah setahun aku meninggalkan kerjayaku yang telah aku ceburi selama hampir 4 tahun sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej matrikulasi. Walaupun buat segelintir, 4 tahun itu hanyalah suatu jangka masa pendek sahaja namun bagiku ianya cukup memberikan makna yang mendalam dan membuahkan pengalaman yang tidak mungkin aku perolehi di mana-mana atau dibeli dengan wang ringgit. Pelbagai ilmu dan pengajaran yang dapat aku pelajari walaupun hanya bekerja dalam tempoh sesingkat itu.
                Mungkin nasib tidak menyebelahi aku berbanding insan yang lain, maka aku terpaksa mengalah dengan apa yang telah ditakdirkan padaku. Beberapa insiden peribadi yang berlaku menyebabkan aku terpaksa melepaskan juga kerjaya yang telah lama aku cita-citakan itu demi sesuatu yang lebih baik buat aku dan keluargaku. Inilah pengorbanan ku...dan aku harap akan ada hikmahnya disebalik pengorbananku ini. InsyaAllah...
                Sesungguhnya di dalam hati ini, masih tersimpan cita-cita dan semangat untuk bekerjaya semula suatu masa nanti. Tambahan pula jiwa ku seorang pendidik masih agak menebal dan merasakan sangat ingin berkongsikan ilmu serta pengalaman bersama-sama para pelajar. Harap-harap suatu masa nanti cita-citaku ini dapat diteruskan semula dengan izin-Nya. Apa yang penting sekarang ini, biarlah masa yang menentukan segalanya. Bersabarlah...Bertawakallah...Tunggulah... Bak kata pepatah Melayu dahulu kala "Kalau hendak seribu jalan, kalau tidak hendak seribu alasan!".
                Setahun yang berlalu bukanlah satu perjalanan yang lurus yang terpaksa aku lalui. Sesungguhnya dalam tempoh itu, banyak perkara yang telah terjadi padaku. Selain daripada halangan untuk menyambung pelajaran kerana keadaan yang tidak mengizinkan, aku juga diuji dengan suatu dugaan yang besar yang amat memberikan impak kepada kehidupanku. Semua ini aku anggap ketentuan Illahi buat diriku untuk menguji sejauh mana keimananku padaNya. Tamparan hebat yang terpaksa aku hadapi itu ialah sewaktu aku kehilangan anak kecilku yang ketika itu baru sahaja berusia 52 hari.
                Ya Allah, hebat sungguh ujianMu padaku kali ini. Tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata betapa hidupku jadi tidak menentu disaat itu. Menghadapi hari-hari berlalu dengan penuh kesedihan dan aku begitu lemah bukanlah sekuat seperti yang difikirkan. Kematian anak benar-benar mematahkan semangatku untuk terus bertahan menghadapi hari depan. Ianya telah merubah kehidupanku sepenuhnya! Hanya Allah yang lebih mengetahuinya. Dan, hanya Allah juga tempat aku bergantung dan mengadu. Dalam tempoh bangkit kembali melupakannya, aku berserah diri hanya pada Allah. Ketenanganku hanya tercapai apabila aku mendekatkan diri pada-Nya dan mula belajar bersabar dalam erti kata yang sebenarnya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda dalam Hadis Qudsi;
Allah SWT berfirman maksudnya:
"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah aku ambil kembali kekasihnya (aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang disayangi oleh seseorang) di kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripada-Ku (dengan bersabar)." - Hadis riwayat Bukhari.
                Benarlah seperti yang dijanjikan, hanya kesabaran kunci menghadapi segala ujian. Dengan bersabar, barulah aku dapat menghadapi semuanya dengan lebih tenang dan tabah lagi. Tambahan pula dengan berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, aku ditakdirkan untuk mengandung lagi yang kini Alhamdulillah sedang sihat membesar di dalam rahimku ini. InsyaAllah, tidak lama lagi dia akan dilahirkan dan semoga Allah melindungi dia dan memberikan dia kesihatan yang baik. Semoga apa yang diberikan Allah ini adalah yang terbaik buat aku dan keluarga bagi mengubati hati kami yang rindu.
                Kalau dahulu mungkin aku cepat melatah dan berputus asa dengan dugaan dan ujian yang terpaksa aku hadapi. Ternyata disebalik pengalaman bersabar dalam menghadapi tamparan hebat itu telah banyak mengajar aku untuk lebih bersedia menghadapi sebarang ujian-Nya lagi. Aku lebih pasrah dengan takdir yang Maha Esa. Benar! Pasrah tanpa berusaha juga tidak digalakkan bimbang pula tidak sampai kemana kerana Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dia berusaha mengubahnya sendiri. Tetapi kita juga kena ingat dan akui bahawasanya sejauh mana pun kita berusaha dan merancang namun ketentuannya tetap pada Allah SWT. Maka redhalah...
                Buat seketika ini, selepas setahun yang berlalu dengan pelbagai ujian yang menimpa...aku cukup bersyukur dan berasa bahagia dengan keadaan aku ketika ini. Tiada perancangan besar yang aku tetapkan, sekadar untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik lagi. Itulah tumpuan aku yang utama buat waktu ini. Izinkanlah aku untuk berehat dan mencari haluan hidupku yang baru. Benarkanlah aku bernafas agar aku lebih lega untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Biarkanlah mulut-mulut orang yang ingin bicarakan tentang aku dan apa yang terjadi padaku. Sememangnya hanya Allah yang mampu membalas akan perbuatan mereka itu dengan setimpalnya. Mereka hanya pandai berkata-kata tetapi tidak pula pernah cuba untuk menyelami ke dasar apa yang aku alami, tidak juga cuba untuk mengerti...apa lagi memahami. Berserahlah pada Allah sahaja.
                Aku tidak mahu percayakan pada manusia lebih daripada aku percaya kepada Allah. Kerana aku tahu Allah yang Maha Berkuasa dalam menentukan segala-galanya. Dan, aku percaya setiap yang ditimpakan-Nya ke atas aku ini tidak kira yang lepas, sekarang mahupun di suatu masa nanti adalah yang terbaik buat aku dan akan ada hikmah dan nikmat disebaliknya. InsyaAllah...Doakanlah aku untuk terus tabah dan bersabar dalam menghadapi hari-hari mendatang. Semoga aku memperolehi kejayaan juga di dunia ini suatu masa nanti dan berjaya juga di akhirat kelak. Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku...amin.
Sekian, wassalam.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya;
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Orang mukmin samada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah SWT, samada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah SWT tanpa dia membawa dosa sedikit pun." - Hadis riwayat Imam Tirmizi.

Isnin, 27 Ogos 2012

...RINDUKAN RAYA DULU-DULU...

Assalamualaikum wbt...
 
Rasanya kehangatan beraya masih lagi menebal dalam hati setiap orang buat masa sekarang ini. Maklumlah, baru seminggu yang lepas kita menyambut hari lebaran tersebut. Semoga lebaran kalian semua untuk tahun ini adalah yang terbaik daripada yang lepas-lepas. Apapun...bagi saya dan keluarga, Alhamdulillah...raya kami sekeluarga juga agak meriah walaupun hanya beraya di perantauan dan mengharungi hari raya bersama anak-anak tercinta sahaja tanpa kaum keluarga, saudara mara yang lain.
 
Menyebut tentang beraya ini, saya terkenangkan suasana beraya di kampung sewaktu kecil-kecil dahulu. Memang jauh bezanya jika dibandingkan dengan suasana hari raya pada hari ini. Melihat gelagat anak-anak sendiri yang seronok bermain bunga api, terasa kesian pula kepada mereka kerana mereka tidak dapat merasai suasana beraya sepertimana yang saya rasai dulu-dulu. Kalaulah masa dapat diputarkan...
 
Apabila raya menjelma, paling kalut sekali antara kami sekeluarga ialah nak pilih kampung belah siapa yang nak balik dahulu untuk menyambut raya pertama. Belah mami di Ayer Lanas, Jeli ke atau di Kubang Batu, Pasir Mas sebelah abah? Masing-masing bertegang urat membentangkan pendapat masing-masing. Ada yang sampai merajuk-rajuk. He3...Dan, kebiasaannya kalau tak silap saya...kami lebih banyak beraya pada hari pertama raya di sebelah mami di kampung Ayer Lanas, Jeli. Nak buat macam mana, pilihan majoriti. Sebabnya?...entahlah, mungkin disebabkan kami adik beradik memang lebih selesa dan rapat dengan atuk (dipanggil Che) dan nenek (dipanggil Mok) sebelah mami lagi kot...=) Jangan ada yang terasa hati pula ya...
 
Kami pulang ke kampung, biasanya sehari dua sebelum raya menjelma. Maka, bolehlah kami berbuka puasa dan ke surau bersembahyang terawih beramai-ramai dahulu bersama sanak saudara sebelum menyambut raya. Seronok sangat bila berbuka puasa beramai-ramai ini. Meriahnya rumah Mok dan Che tu...Hanya Allah sahaja yang tahu. Paling seronok sekali kami yang masih kanak-kanak inilah. Mana tidaknya, beramai-ramai bersama sepupu sepapat memasang pelita dan bermain bunga api. Sesudah main bunga api, main kejar-kejar pula...apalagi, habis debu pasir sekeliling rumah naik ke udara. Kalau yang  remaja perempuan pula...suka sangat berkurung sahaja dalam bilik sambil bergosip-gosip. Entah apa yang digosipkan...kadang-kadang sampai pukul 1...2 pagi pun masih belum tidur!
 
Dahulu sepupu sepapat memang berhubung rapat antara satu sama lain. Ini kerana boleh dikatakan seringkali hampir setiap minggu ibubapa masing-masing pulang ke kampung untuk bersama-sama keluarga bagi mengeratkan lagi sillaturrahim. Jadi, kami telah membesar bersama-sama tanpa segan silu sudah seperti adik beradik kandung sendiri. Tetapi kalau diperhatikan sekarang...kanak-kanak sekarang ini, sepupu sendiri pun tak pernah nak kenal batang hidung. Mana tidaknya...ibu bapa masing-masing sibuk bekerja...jadi tiada masa untuk kerap pulang ke kampung bagi bersatu bersama semua keluarga macam dulu-dulu. Kecil-kecil lagi tidak pernah berjumpa dan bermain bersama...jadi, bila sudah besar semuanya duk menyegan dan malu-malu. Terus tak bertegur sapa...akhirnya makin rengganglah ikatan keluarga! 
 
Kalau kami adik beradik pulang ke rumah sebelah abah di Pasir Mas, rumah Mek (panggilan untuk nenek) dan Ayah (panggilan untuk atuk)...kami sebenarnya lagi seronok untuk bermain bersama-sama sepupu sepapat di sana sebab lebih ramai jumlahnya. Tetapi di sana ada sedikit kongkongan...maklumlah Mek itu garang sedikit orangnya. Kalau ada yang tak kena, ditegurnya sahaja depan-depan. Terkulat-kulatlah kita kat situ! Kalau nak tahu garang tak garang dia...sekiranya di ketuk sahaja dinding papan rumah itu...mahu senyap semua orang tak terkata! Jadi, adakalanya pergerakkan itu terasa tidak bebas dan terbatas. Takut-takut kena marah...he3...Yalah, sampai berjalan di dalam rumah pun kena perlahan-lahan sebab takut lantai berbunyi...maklumlah rumah kayu...=)

Malam menjelang raya, satu rumah pasti akan terang benderang dengan suasana meriahnya tak terkata. Mana tidaknya...kalau yang kanak-kanak ini sudah tentulah bermain sahajalah yang mereka pandai buat. Tetapi bagi yang dewasa, mak-mak saudara dan bapa-bapa saudara...semuanya sibuk saling membantu untuk membuat persiapan sempena menyambut hari raya esoknya. Paling sibuk tentulah emak-emak saudara. Di dapur paling kecoh. Menyembang pelbagai topik sambil memasak dan menyiapkan juadah untuk diberi makan pagi raya. Sesekali terdengar gelak tawa, sesekali terdengar jeritan...ada masakan hampir hangus...atau terlupa nak masukkan bahan apa-apa...ada juga yang ketikanya berbisik-bisik sahaja. Kalau yang bapa-bapa saudara ini pula, kerjanya yang senang-senang sahaja. Sesudah buat kerja...pasti akan duduk berkumpul antara mereka di anjung depan rumah...apalagi, main daun terup...mengisi masa lapang dan sekadar berseronok adik beradik.  
 
Pagi raya biasanya, semua akan bangun seawal pagi dan mandi beramai-ramai di bilik mandi yang besar sememangnya dibuat untuk anak-anak cucu yang ramai. Dan yang bestnya, ada sebuah perigi di dalamnya. Kalau dah tak larat berebut air paip, air hujan...nah, air perigi pun jadilah. Sejuknya tak terkata. Menggigil seluruh badan. Terasa segar dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Kemudian kami akan disiapkan oleh emak masing masing dengan pakaian yang baru dan cantik-cantik. Kalau kanak-kanak perempuan ini mesti akan ada yang rajin untuk menyolek-nyolek supaya bagi lagi cantik dan comel sikit. Lepas itu, beramai-ramai ke masjid berdekatan atau surau untuk tunaikan sembahyang raya. Pergi berjalan kaki sahaja, sebab kalau balik nanti boleh terus singgah rumah-rumah jiran sekampung untuk beraya.

Beraya di kampung yang sememangnya kampung betul-betul kampung...bukan seperti sekarang, kampung yang sudah moden...memang sangat menggembirakan. Tak dapat diluahkan dengan kata-kata macam mana gembiranya waktu itu. Jiran-jiran juga semuanya baik-baik dan tidak sombong. Rumah terbuka untuk sesiapa sahaja dan kalau bab duit raya itu, memang senang nak dapat. Dahulu 50sen masih bernilai. Jadi, paling kurang dapat 50sen pun sangat bersyukur dan senang hati. Dah rasa cam kaya raya dah. Tetapi sekarang...minimum nak bagi 2ringgit pun...kanak-kanak dah persoal..."alaaa, 2 ringgit jer?"...Tak ke tension namanya tu?...Nanti bila dah habis beraya, masing-masing pakat kira duit raya yang dapat dan bandingkan siapa yang lebih banyak.

Hai...masa berlalu tersangatlah pantas. Semua itu tak mungkin dapat diulang lagi. Tetapi itulah...yang berlalu biarlah berlalu. Jadikan kenangan terindah di dalam sanubari. Kita yang dah jadi ibubapa zaman sekarang ini, sebolehnya cubalah wujudkan kembali suasana itu. Sekurang-kurangnya amalan sembahyang raya dan kunjungi sanak saudara serta membuat sedikit juadah di hari raya itu perlulah diteruskan. Kalau tak boleh banyak pun, sikit pun jadilah. Bukan apa...takut-takut suatu masa nanti, suasana hari raya ini terus tenggelam dek arus masa. Hari raya dah jadi macam hari cuti biasa. Duduk sahaja di rumah...tengok tv cerita raya.

Baiklah, sampai di sini sahaja dahulu. Kalau diikutkan hati panjang lebar lagi nak ditulis. Tapi dah tak larat dah mata nak buka. Semoga sesiapa yang membaca ini gembira sekiranya ia menggembirakan hati anda, jangan bersedih-sedih kalau ianya menyedihkan anda dan jangan pula dikutuk-kutuk kalau ya pun tidak sukakannya. Saya menulis sekadar luahan hati sahaja. Maklumlah, dah lama tak beraya di kampung. Sebab itulah, terasa RINDUUUU sangat akan suasana raya dulu-dulu...wassalam...=)
 
 

Selasa, 14 Ogos 2012

...SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...

Assalamualaikum,

Sudah sekian lama rasanya jari-jemari ini tidak menaip mencatatkan apa-apa di ruangan blog TATKALA HATI BERBICARA ini. Maklumlah, bulan puasa yang dilalui diambil peluang sebaiknya untuk melakukan perkara-perkara yang lebih berfaedah disamping menumpukan sepenuh masa terhadap anak-anak yang masih kecil.

InsyaAllah, harap-harap berkat usaha saya di dalam bulan puasa yang mulia itu...adalah rezeki untuk saya memulakan suatu peluang kerjaya yang baru iaitu untuk menjadi seorang penulis buku...terutama buku-buku latihan tentang subjek Biologi bagi para pelajar matrikulasi.

Sayang pula rasanya jika ada ilmu tetapi tidak diluahkan atau dikongsikan bersama-sama...dan sekadar berkarat di dalam minda sendiri. Serba salah dan rasa terbeban pula apabila tidak dapat menurunkan dan berkongsi ilmu tersebut kerana di dalam diri ini sememangnya sudah sebati berjiwa pendidik.

Emm...pejam celik-pejam celik, rupanya sudah pun tiba masanya untuk Ramadhan Al-Mubarak meninggalkan kita. Sedihnya hati mengenangkan pemergian bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini. Mungkinkah saya berkesempatan untuk menemuinya kembali setahun lagi? Harap-harap panjang umur dapatlah merasai kemanisan bulan Ramadhan lagi...

Dalam sehari dua lagi umat islam akan menyambut hari kemenangan mereka setelah sebulan berjuang berpuasa. Maka dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua yang mengenali diri ini. Ampunkanlah saya sekiranya ada tersalah, tersilap, terkasar bahasa, tersalah gurauan sehingga melukakan hati anda semua tanpa saya sedari. Saya hanya manusia yang kerdil penuh dengan kesalahan yang memerlukan kemaafan.

Seperti 2 tahun yang lepas, kali ini pun saya masih tidak berpeluang untuk pulang untuk bersama-sama keluarga di kampung bagi meraikan hari yang penuh kegembiraan tersebut. Tidak mengapalah, ada perkara yang lebih penting yang perlu saya penuhi iaitu ketaatan kepada suami yang perlu bekerja di hari raya. Sedih dan rindu di hati hanya Allah SWT yang tahu...namun, semuanya bukan bermakna nokhtah terakhir bagi diri saya kerana jika ada masa lapang nanti, insyaAllah saya akan pulang juga suatu hari nanti...tidak semestinya hanya pulang di hari raya sahaja.

Bagi menyatakan perasaan hati ini, saya tujukan sebuah lagu yang cukup indah dan merdu bertepatan dengan kata hati ini buat semua...terutama ahli keluarga tersayang. Semoga apabila kalian mendengar lagu ini di hari raya nanti, maka teringatlah akan saya...Pesanan saya, berayalah seadanya dan berwaspadalah dalam kegembiraan tersebut. Jangan terlampau gembira hingga lupa diri pula ya!

Sekali lagi, SALAM AIDILFITRI...MAAF ZAHIR DAN BATIN...



AIR MATA SYAWAL...Siti Nurhaliza:

Sayu...Hati Ini Makin Sayu
Rindu...Terkenagkan Desa Permai
Wajah Ayah Bonda
Bermain Di Mata
Mengajak Ku Pulang Ke Desa
Di Hari Bahgia...Hari Raya

Lama Ku Tunggu
Bertemu Di Pagi Mulia
Namun Tidak Ke Sampaian
Air Mata Jatuh Berlinangan

Ku Ingin Berulang
Manisnya Bersama
Menyambut Hari Bahgia
Jarak Memisahkan
Rindu Pertemuan
Bilakah Hasrat Jadi Nyata

Duhai Ayah Bonda
Ampunkan Anakanda
Tak Dapat Beraya Bersama
Jauh Dari Mata
Dekat Dalam Jiwa
Teguh Kasihku Tidak Berubah.



Ikhlas dari;
Aiza Sharmimi dan keluarga.
(Mohd Nadhir, Nadhirah dan Nadhrah)

Sabtu, 14 Julai 2012

...JULAI YANG ISTIMEWA....

Alhamdulillah, pejam celik-pejam celik dah tiba Bulan Julai lagi. Setahun berlalu bagaikan sekelip mata sahaja. Walaupun sudah pun memasuki pertengahan bulan Julai...tetapi, ada sesuatu yang paling penting buat diriku dan buat umat islam keseluruhannya yang masih belum kunjung tiba. Dan, waktunya akan tiba juga dalam beberapa hari sahaja lagi. Tak sabarnya untuk mengharungi hari-hari seterusnya di dalam Bulan Julai tahun ini yang bagiku sangat istimewa berbanding yang lepas-lepas! Yeah!

Pasti pembaca di luar sana sudah dapat mengagak apakah yang dimaksudkan dengan 'sesuatu yang paling penting' yang ada dalam Bulan Julai tahun ini kan? Ya! Sudah semestinya kehadiran Bulan Ramadahan Al-Mubarak yang sememangnya dinanti-nantikan dan dirindui kehadirannya oleh semua umat islam sedunia. Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan sepanjang Bulan Ramadhan ini jugalah umat islam akan berpuasa dimana dapatlah sedikit sebanyak menambahkan amal ibadah serta mengurangkan berbuat perkara-perkara yang dapat mengurangkan pahala. Jadi ambillah peluang keemasan ini untuk kita perbanyakkan lagi pahala agar dapat dijadikan bekalan buat kita di akhirat sana. Jom Puasa dan beramal dengan lebih baik lagi kali ini nak tak?=)

Selain kehadiran bulan mulia itu, sebenarnya dalam Bulan Julai ini jugalah diri ini telah dilahirkan. InsyaAllah, seminggu selepas berpuasa...maka akan tibalah giliran tarikh lahirku pula. Gembira sangat sebab kali pertama dapat menyambut Hari Jadi di dalam Bulan Ramadhan yang mulia. Doaku harap-harapnya dengan mengambil keberkatan sempena bulan puasa ini, semoga cukupnya umur pada kali ini akan menjadikan aku seorang muslimah yang lebih dekat pada Illahi, isteri yang lebih solehah dan lebih mentaati suami lagi, seorang anak yang lebih baik dan ibu yang lebih mithali. InsyaAllah! Yalah, aku pun bukanlah semakin muda lagi, umur makin meningkat...anak pun makin banyak...dan mereka pun sudah makin besar...Ingin jadi contoh buat mereka agar mereka merasai ibu mereka adalah ibu yang terbaik daripada kalangan yang terbaik! InsyaAllah...

Sebelum mengakhiri coretan kali ini, suka juga mengambil peluang di sini untuk mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR buat puteri-puteri kesayanganku. Seorang dilahirkan pada awal Bulan Jun yang lepas (8/6) iaitu adiknya, manakala kakaknya telah dilahirkan juga dalam Bulan Julai! Iaitu pada hari ini 14/7...Ini yang membuatkan Julaiku kali ini lebih bermakna lagi...JULAI YANG ISTEMEWA...Sesungguhnya tiada yang lebih membahagiakan hati ibu melainkan melihat kebahagiaan dan kegembiraan kalian. Jadilah anak-anak yang solehah dan semoga sentiasalah dilindungi Allah SWT selalu hendak-Nya. Ibu sayaaaaanggg sangat anak-anak ibu! Mmmuah...

Kakak NADHIRAH (14/7 - 3thn) bersama adik kesayangannya Angah NADHRAH (8/6 - 2thn 1bln)
Sekian dahulu buat kali ini...semoga anda semua dirahmati Allah SWT selalu...InsyaAllah..amin...

Khamis, 5 Julai 2012

...BERSYUKURLAH...

                Suatu petang di Bulan Ramadhan yang mulia, jiranku di sebelah rumah memberikan salam dan menghulurkan sedikit makanan. Katanya buat hidangan sampingan di waktu berbuka puasa nanti. Maka, aku menerimanya dengan hati yang senang dan mengucapkan berbanyak terima kasih di atas pemberiannya itu. Walaupun kami baru sahaja berkenalan kerana aku baru sahaja berpindah ke kawasan tersebut, dalam hatiku cukup bersyukur kerana ditakdirkan berjiran dengan orang-orang yang baik hatinya. Tidak sabar rasanya untuk berbuka puasa dan menikmati hidangan pemberian jiranku itu. Biarpun sedikit sahaja, tapi cukuplah buat aku dan suami untuk sekadar merasainya. Alhamdulillah...bak kata pepatah melayu rezeki jangan di tolak, musuh jangan dicari.
                Tatkala azan Maghrib berkumandang yang menandakan waktu untuk berbuka puasa pun telah tiba, selepas meminum sedikit air dan menjamah buah kurma aku terus memakan nasi. Entah kenapa hari ini aku berasa betul-betul lapar. Mungkin juga disebabkan telah seharian menyimpan dan mengemas rumah disamping itu juga aku sedang mengandungkan anak ke-3 ku yang ketika itu usia kandungannya sekitar 4 ke 5 bulan. Tetapi berbeza pula dengan suami, selepas meminum air dan memakan buah kurma dia kemudiannya merasai terlebih dahulu makanan yang telah diberikan oleh jiran kami tadi. Kelihatan berselera juga dia memakan hidangan tersebut. Sedap agaknya. Kata hatiku. Namun, aku sedikit hairan dengannya kerana apabila ditanya pendapat dia tentang rasa makanan itu suami hanya diam membisu dan menyuruh aku merasainya sendiri sahaja.
                Sesudah itu, suami terus bangun dari tempat duduknya kerana katanya cukup dahulu dan ingin pergi menunaikan solat. Selepas solat nanti baru dia akan sambung untuk memakan nasi pula. Takut kenyang sangat, malas pula katanya. Aku cuma menganggukkan kepala sahaja tanda mengiyakan apa yang dikatakan. Selera aku masih terbuka dan belum mahu berhenti lagi. Selepas nasi dihabiskan, tangan aku cepat sahaja mencapai makanan pemberian jiranku pula. Melihat reaksi suami menyebabkan aku rasa teruja dan tidak sabar sungguh untuk merasainya. Tiba-tiba suami memegang bahuku sambil berkata "Rasailah dan kemudian bersyukurlah. Ini rezeki kita dibulan mulia, sedap ke tak ke terimalah seadanya. Jangan pula komen apa-apa melainkan bersyukur Alhamdulillah. Esok, awak ucapkan terima kasih sekali lagi dan bagilah apa-apa pula ya...".
                Aku cuma tersenyum mengangguk membalas kata-kata suamiku itu. Walaupun aku sememangnya berasa pelik dan tidak faham kenapa tiba-tiba dia berkata begitu, aku hanya diam dan meneruskan niatku untuk merasai masakan pemberian jiran kami itu. Tanpa berlengah lagi aku mencubit sedikit dan memasukkannya ke dalam mulut. Dengan satu gigitan dan kunyahan, maka lahirlah suatu rasa yang agak semacam rasanya bagiku. Oh, kini baru aku faham! Patutlah abang awal-awal lagi pesan padaku sebegitu. Dek kerana pesanan mulia suami aku tadi, maka ku kuncikan mulut rapat-rapat dan terus memakannya untuk menghabiskannya. Tidak elok pula kalau aku biarkan begitu sahaja dan membazir. Aku cuba positifkan diri dengan menyatakan masakan ini di buat sewaktu berpuasa. Tidak boleh rasa. Jadi, pastikan ada kekurangannya. Mungkin kali ini giliran dia yang memasak tetapi tidak menjadi, mana tahu esok-esok giliran aku pula yang terkena. Maka, bersyukurlah...Alhamdulillah.
                Kisah ini aku coretkan kerana aku tahu ianya bukan sahaja pernah terjadi kepada diriku seorang tetapi ramai lagi di luar sana yang telah mengalaminya. Jadi, aku mengambil kesempatan daripada kisah ini sebenarnya untuk menyedarkan diriku dan diri yang lain juga akan hikmah disebalik kejadian seumpama ini. Pesanan aku pada semua, bersyukurlah dengan apa sahaja pemberian jiran kita tersebut tidak kiralah jika ianya baik atau buruk buat kita, elok atau cacat rupanya, mahupun sedap atau tidak rasanya. Ini seraya dengan pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda,:
"Wahai wanita muslimah janganlah jiran memperkecilkan (pemberian) jirannya walaupun (pemberian) itu hanya berupa kaki kambing".
                Merenung akan hadis tersebut sesungguhnya ada banyak sebab, hikmah dan nikmat mengapa Baginda bersabda sedemikian buat kita umatnya dan dinyatakan juga wahai wanita khususnya. Bukanlah pesanan Rasulullah itu sengaja dibuat-buat, melainkan sesuatu kebaikan yang berlipat ganda akan diperolehi kita sekiranya mengikutinya. Kenapa pula wanita yang lebih disebutkan ya? Bagiku yang juga seorang wanita, jawapannya mudah sahaja iaitu kerana wanita sememangnya suka bercakap! Tidak kira apa isunya mestikan ada yang bercakap. Tambah-tambah jika ada yang tidak kena dengan hatinya pula, pasti lantang sahaja bersuara dan sukar sekali untuk mendiamkan diri serta bersabar.
                Di sini suka sekali untuk aku kongsikan sedikit kemanisan yang aku perolehi setelah aku bersyukur dengan pemberian jiranku tadi. Terima kasih buat suami kerana telah mengajarkan aku erti untuk bersyukur dan menutup mulutku daripada membuat sebarang komen. Pada aku, antara kebaikan yang aku dapati melalui kejadian itu ialah keakraban kami yang hidup sebagai jiran sebelah-menyebelah ini semakin bertambah baik. Malahan selepas kejadian itu, kami langsung tidak berasa malu dan segan untuk terus berbalas-balas menukar makanan walaupun bukan dibulan puasa. Seolah-olah telah menjadi seperti kebiasaan pula buat kami berdua untuk saling menghulur dan memberikan apa yang ada agar sama-sama dapat berkongsi dan merasainya. Tidak kiralah sedap atau tidak, tetapi keseronokan memberi itu lebih dirasai. Lagipun, mana yang lemah dan kurang dapat juga sama-sama fikirkan untuk memperbaikinya.
                Pernah juga aku fikirkan apalah yang akan terjadi sekiranya aku tidak patuh akan pesanan suamiku itu? Sudah tentulah aku akan mengkritik masakannya dengan lantang sekali tanpa berfikir panjang . Dan, sekiranya dia terdengar pula kritikan aku itu, pastinya akan buat dia terasa hati. Apabila hati sudah terasa, macam-macam boleh terjadi. Muka yang manis pun boleh memuncung menjadi masam mencuka. Pastinya dia akan lebih berhati-hati dengan aku dan tidak dapat berbaik-baik dengan aku seperti sekarang. Mana tidaknya mesti dia berasa bimbang takut-takut mulutku lantang sahaja mengkritiknya lagi di masa hadapan. Lebih buruk lagi kalau-kalau aku memalukan dia dengan kritikan aku itu...betapa berdosanya aku...sudahlah tidak reti bersyukur, mengaibkan orang pula tu? Nauzubillah...
                Kisah seterusnya yang ingin aku kongsikan ini juga ada kaitannya dengan tajuk kali ini. Sekadar untuk meluahkan perasaan dan aku tahu ramai juga di luar sana yang pernah mengalami nasib seperti ini. Jadi sama-samalah kita menilai diri kita pula melalui kejadian-kejadian tersebut. Ianya mengenai seseorang yang amat rapat dengan aku dan kerjayanya sebagai tukang masak. Ada satu perangai yang aku sedikit tersentak dengannya dan membuatkan aku seringkali terasa hati dengan dia apabila bersamanya. Iaitu, sikap dia yang suka mengkritik dan tidak pernah berpuas hati dengan masakan yang dimasak oleh orang lain.
                Setiap kali merasa masakan yang dimasak oleh orang lain, pasti ada sahaja komen-komen yang menyakitkan telinga akan terdengar. Walaupun padahal kita sudah membawa dia makan di tempat yang boleh dikatakan hebat, bertaraf bintang-bintang dan sering dikunjungi orang ramai, pada dia apabila sahaja makanan masuk ke dalam mulut dia...mesti tetap tidak sedap! Siap boleh makan sikit sahaja dan tolak pinggan ke tepi.  Tak habis dengan itu, kemudian dia akan katakan kalau dia masak akan jadi lagi sedap. Suka sangat mengangkat diri sendiri dan memuji-muji masakan sendiri untuk dibandingkan dengan masakan orang lain. Bukankah lebih baik kalau dia berfikiran terbuka sedikit dan terima masakan orang lain itu seadanya. Sekurang-kurangnya bersyukurlah dapat merasai makanan tersebut.  Kalaulah satu hari nikmat merasa itu ditarik balik..macam mana? Waktu itu, tidak guna untuk menyesali lagi.
                Kalau boleh, setiap kali dapat makan itu rasalah dengan penuh keikhlasan kerana itu adalah suatu rahmat yang patut kita syukuri. Mana tidaknya di luar sana entah berapa ramai lagi manusia yang tidak dapat makan yang secukupnya? Mungkin disebabkan kemiskinan, kebuluran, bencana alam dan sebagainya. Bagi mereka ini, kalau dapat makan walaupun benda yang tidak sedap pun dah jadi suatu rahmat yang besar kerana dapat mengisi perut kelaparan. Tetapi, mengapa kita yang dengan senang dan mudah sahaja mendapat makanan ini tidak pula pandai untuk menghargai dan mensyukurinya? Mudah-mudahan selepas ini, kalau kita makan janganlah mulut pun cepat sahaja nak mengomen itu dan ini. Senyap sahajalah dan beringat-ingatlah akan sabda Rasulullah SAW semula. Mudah-mudahan kita mendapat berkat daripada apa yang kita makan itu yang bakal menjadi darah daging kita juga.
                Satu lagi kisah ini diceritakan oleh sahabatku tentang perangai ibunya sendiri. Bukan aku ingin memalukan sesiapa tetapi aku juga belajar daripada apa yang berlaku dengan doa mudah-mudahan suatu hari nanti aku tidak akan menjadi seperti itu. InsyaAllah. Katanya dia sangat berkecil hati dengan perangai ibunya yang tidak pandai untuk menunjukkan rasa menghargai setiap pemberian yang diberikan oleh anak-anak. Apabila dibelikan sesuatu barang, ibunya mengambilnya tetapi dengan pelbagai komen dan kata-kata yang boleh melemahkan semangat si pemberi. Sampai ada di antara adik-beradiknya yang menjadi serik untuk membeli barang-barang lagi dan hanya mengirimkan duit sahaja untuk ibunya membeli sendiri apa yang disukainya.
                Bukan setakat adik-beradik, anak menantu juga ada yang terasa hati sebab apabila diberikan barang dibandingkan pula barang itu dengan pemberian menantu lain atau dengan barang yang dibeli oleh orang lain. Ada sahaja yang tidak kena. Bukan nak terima baik-baik, senyum dan ucapkan terima kasih tanda menghargai pemberian itu tetapi sebaliknya memperkecil-kecilkan pula pemberian itu. Alangkah sedihnya dan tergurisnya hati anak-anak dan menantunya. Tidakkah si ibu fikirkan betapa gembiranya hati si anak kalau dia menerima pemberian itu dengan baik, jujur dan dengan hati yang terbuka? Tunjukkanlah sedikit rasa berterima kasih mungkin dengan pujian yang ringkas atau cukup dengan berdiam dan senyuman kegembiraan. Si anak juga mesti akan berasa senang hati untuk menghadiahkan dia bermacam perkara lagi kerana tahu si ibu menerima dengan seadanya dan menghargainya.
                Ingatlah! Adakalanya untuk memberikan sesuatu kepada seseorang itu ada yang sampai sanggup melakukan apa sahaja. Setiap pemberian itu amat bermakna buat si pemberi. Tidak kiralah sesiapa pun, jika menerima sesuatu pemberian daripada seseorang itu, hargailah dan berterima kasihlah. Kemudian bersyukurlah dengan pemberian itu. Mungkin si pemberi tadi sudah begitu bersusah payah untuk mendapatkan barangan tersebut semata-mata untuk diberikan kepada kita. Ada yang sanggup bergolok gadai, ada juga yang sanggup bercekang mata, bekerja bertungkus lumus, mengikat perut, teringatkan kita siang dan malam demi memberikan sesuatu yang dirasakan sangat istimewa buat seseorang apatah lagi jika untuk diberikan kepada ibu sendiri.
                Jika situasi yang sulit sedemikian yang terpaksa dilalui demi memberikan hadiah buat insan tersayang tetapi akhirnya tidak dihargai dan diperlekehkan begitu sahaja, apakah tidak layak untuk mereka ini merasa terkilan dan sakit hati? Fikirkanlah sejenak untuk renungan bersama. Sebagaimana ibubapa yang inginkan terbaik buat anak-anak, begitu juga seseorang anak-anak yang inginkan terbaik buat ibubapa mereka. Tambahan pula jika anak-anak sudah besar dan dewasa yang tidak ingin lagi melihat ibubapa mereka bersusah payah untuk mereka. Jadi, anak-anak ini adakalanya memikirkan untuk meringankan bebanan ibubapa mereka, maka mereka cuba untuk memberikan sesuatu buat kesenangan ibubapa. Jika balasan yang diterima adalah dengan kata-kata negetif dan tidak menunjukkan rasa berterima kasih atau menghargainya...sudah tentulah hati anak-anak juga akan terasa. Semoga kita tidak akan menjadi ibubapa yang sebegitu. Dan, semoga ibubapa diluar sana juga hargailah anak-anak yang ada dan pemberian mereka. Syukurilah...
                Akhir sekali, renungilah sabda seterusnya ini buat keinsafan kita bersama sebagai manusia yang merupakan hamba Allah dan akan kembali kepadaNya juga.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Sesiapa diberi suatu kebaikan hendaklah dia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya dia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi, dia dianggap kufur nikmat."
                Sesungguhnya, yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah kelemahan sendiri selaku manusia yang sememangnya tidak lepas dari kesilapan. Semoga dengan membaca coretan ini, kita semua dapat berasa bersyukur dan lebih menghargai setiap apa yang kita ada dan miliki. Jika ada pemberian orang itu, sepatutnya kita berasa terharu kerana di dalam dunia ini ada juga yang sayang dan mengingati kita.
Sekian dahulu, Assalamualaikum...

Isnin, 2 Julai 2012

...KERANA MULUT, BADAN BINASA...


                Sedang saya asyik menyelak satu persatu halaman muka surat sebuah buku islamik simpanan peribadi yang juga merupakan suatu pemberian bermakna daripada seorang sahabat lama sewaktu perpisahan kami dahulu, selakkan terhenti pada suatu topik yang membincangkan tentang amalan-amalan ke syurga. Bagaikan ada suatu tarikan tersendiri, terdetik di hati untuk membaca topik tersebut dengan lebih lanjut lagi. Ternyata kata hati memang ada kebenarannya. Topik tersebut sememangnya membincangkan sesuatu yang amat bermakna buat diri saya. Ianya merupakan suatu petikan berkaitan sabda Nabi SAW yang membawa maksud;
"Semoga engkau selamat. Adakah yang menjadikan orang tersungkur di atas, mukanya (ada yang meriwayatkan batang hidungnya) di dalam neraka, selain ucapan lidah mereka?".
Kemudian sabda Nabi SAW itu diperjelaskan lagi dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud;
"Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam".
                Memahami petikan sabda Nabi SAW itu, saya merasa sedar akan betapa hebatnya kuasa lidah terhadap seseorang individu itu. Begitulah lidah, melaluinya dapat menentukan hala mana kita akan tuju selepas di hitung di akhirat kelak. Samada ke syurga atau ke nerakakah kita, ianya terpulang kepada perbicaraan yang disampaikan melalui lidah kita sewaktu di dunia ini. Disebabkan itulah, maka sebagai umat islam kita seringkali diingatkan agar menjaga lidah kita dengan baik terutama sekali sewaktu berbicara kerana ianya merupakan kunci kepada segala urusan kita.
                Namun apa yang disesalkan kini, hari demi hari semakin berlalu dan manusia seringkali kalah dengan pelbagai godaan yang akhirnya menyebabkan kita semakin lupa, lalai dan alpa. Semakin ramai yang tidak tahu akan kewujudan sabda Nabi SAW itu. Malahan ada pula yang sememangnya tahu mengenainya, tetapi sengaja memandang sepi akan tuntutan Rasulullah tersebut. Jadi tidak hairanlah jika kita melihat kepada situasi pada hari ini, semakin ramai manusia yang tidak pandai menjaga lidah mereka dan ingin bersuara, bercakap serta berbicara mengenai apa sahaja atas dasar hak kebebasan bersuara. Biarpun kadangkala apa yang diperkatakannya itu adalah sesuatu yang auta semata-mata!
                Lidah, seperti yang diketahui umum ianya berkait rapat dengan percakapan. Bila menyentuh tentang percakapan ini pula, kita tidak akan lari daripada adab-adab sewaktu bercakap. Adab bercakap ini telah didedahkan kepada kita semenjak dari kecil lagi. Ibubapa seringkali menasihati anak-anak masing-masing agar bercakap dengan baik, bersopan-santun, berbudi bahasa, lemah lembut dan sebagainya tanda menghormati pihak yang sedang mendengar percakapan kita itu. Ianya selari dengan tuntutan agama Islam kita serta sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW. Adab bercakap ini turut diajari diperingkat sekolah dan telah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat kita.
                Pertuturan lidah yang dijaga dengan baik akan menyebabkan si pendengar merasa damai dan selesa berkomunikasi dengan kita. Ingatlah bahawa, jika kita tidak mahu orang lain menuturkan sesuatu yang kurang enak tentang kita...maka, orang lain juga akan merasakan perkara yang sama. Semua orang ingin diri rasa dihormati. Jadi, hormatilah diri orang lain dengan berbicara sebaik mungkin terlebih dahulu jika rasa diri ingin dihormati pula. Tidak kiralah usia kita tua mahupun muda, bercakap dengan baik menjadi suatu perkara yang semestinya buat kita kerana ianya sesuatu yang dituntut dalam agama.
                Jujur saya katakan di sini, saya sendiri agak terkilan dengan fenomena yang berlaku pada waktu ini. Entah dimana silapnya, manusia kini semakin tidak pandai untuk menjaga lidah mereka dengan baik dan berbicara dengan penuh adab sepertimana yang telah diajarkan dan dipelajari. Apabila seseorang bercakap dengan baik, ada pula yang membalas dengan kasar dan biadab. Dan, pada pengamatan saya perkara sebegini berlaku dikalangan semua peringkat tidak kira usia tua dan muda. Jika situasi sebegini berterusan, manakan dapat yang muda mencontohi kelembutan berbicara si tua dan yang tua pula rasa dicontohi adab-adab percakapan mereka oleh orang-orang yang lebih muda?
                Pernah suatu ketika dahulu, saya agak terkejut dengan respon seorang nenek tua yang melenting bagaikan tidak ingat dunia dan akhirat apabila ditegur dengan baik oleh seorang anak muda tentang satu kesalahan yang dilakukannya. Perkara ini terjadi di hadapan mata saya sendiri. Pada saya teguran yang dibuat oleh anak muda itu sudah penuh dengan adabnya yang berhemah, berbudi bahasa dan sopan. Malahan tutur bicaranya juga lembut, perlahan dan penuh kebaikan. Tetapi balasan si nenek tua itu amat memeranjatkan saya. Bukan sahaja membalas dengan meninggi suara, menengking-nengking pula. Tidak sudah dengan itu, kata-katanya penuh dengan maki hamun dan menghina si anak muda tadi. Dapat saya bayangkan perasaan malu yang terpaksa ditanggung anak muda itu tadi.
                Terfikir di dalam hati saya, kenapakah si nenek tua tersebut perlu memberikan respon yang sebegitu atas teguran baik anak muda tersebut telah lakukan? Apakah yang cuba nenek tua itu buktikan? Dengan reaksi sebegitu rupa, bukankah ianya lebih menggambarkan ciri-ciri negetif yang ada padanya? Dimana caranya tersebut menunjukkan si nenek tua itu berkelakuan tidak elok dan tidak boleh dicontohi langsung. Mungkin juga boleh menimbulkan rasa marah dan tidak hormat kepadanya walaupun usianya sudah tua. Atau, dek kerana berasa ego dengan usianya yang sudah tua itu maka dia merasakan dirinya tidak boleh ditegur walaupun dia ternyata bersalah dan ditegur secara baik!
                Paling menyedihkan saya ialah diakhir bicara nenek tua tersebut dia berkata sesuatu kepada anak muda itu yang sekali gus menjawab segala persoalan yang bermain difikiran saya itu tadi: "Aku ni orang tua. MANA ADA BUAT SALAH! Aku yang makan garam lebih banyak pada kau, apa yang kau tahu? Memandai saja nak mengajar aku! Hormatlah sikit orang tua! Kurang ajar punya budak..." . Benarlah, kerana dia lebih tua usianya maka dia berasakan dirinya tidak lagi layak untuk ditegur. Ya Allah, ampunkanlah nenek tua itu. Begitu hebat Kau mengujinya sehinggakan dia sedikit terlupa akan kuasa lidahnya itulah nanti yang bakal menentukan syurga atau neraka buat dirinya. Namun, terserahlah pada Allah untuk menilai dan menentukannya. Saya hanya manusia yang mungkin menilai mengikut pandangan saya sahaja kerana keterbatasan pengetahuan saya. Tetapi Allah itu Maha Mengetahui segalaNya.
                Pada pandangan saya, tua atau muda bukan pengukur untuk menilai siapa salah dan siapa betul. Yang bersalah tetap bersalah tidak kiralah usianya tua atau muda! Dan, jika bersalah redhalah sekiranya diri ditegur tambahan pula jika teguran tersebut diberikan secara tulus dan penuh kebaikan. Maka berlapang dadalah untuk menerimanya. Bukankah begitu lebih baik daripada membalas dengan cara yang negetif? Lagipun, sekiranya Allah ingin menimpakan balasaNya ke atas kita, bukannya dilihat pada rupa paras, usia, pangkat atau darjat kita. Allah tetap akan menghukum sesiapa sahaja setimpal dengan perbuatan kita di dunia ini tidak mengira apa juga alasannya. Dengan itu, walaupun muda atau tua seseorang itu lidahnya mesti di jagai dengan baik agar  terhindar daripada golongan yang dimurkai Allah S.W.T.
                Kebanyakkan anak muda yang dilahirkan pada zaman sekarang ini pun telah dilahirkan di dalam dunia yang serba berpengetahuan dan celik ilmunya. Malahan, ada sesetengah daripada mereka ini mempunyai ilmu pengetahuan agama yang lebih mendalam daripada orang tua yang ada sekarang. Jadi, sekiranya begitu mengapa pula orang yang tua tidak dapat menerima dengan baik teguran atau pendapat yang diberikan oleh anak muda pada zaman sekarang? Dan, mengapa mereka yang lebih berusia ini perlu merasakan hanya pendapat mereka sahaja yang betul dan perlu diikut walaupun salah, serta berasa diri sendiri sahaja yang betul dan tidak pernah berasa bersalah? Jika difikirkan, tidak bolehkah golongan ini berlapang dada, berfikiran terbuka dan sesekali merendahkan diri dan beralah sahaja bagi menerima pula pendapat orang yang lebih muda? Bukan untuk tujuan memperkecil atau menyinggung mereka...tetapi untuk kebaikkan mereka dan membaiki kesalahan sementara masa masih ada. 
                Satu lagi perihal lidah yang seringkali menyebakan saya sakit hati dan terasa hati ialah apabila kita berbicara dengan 'Si Pemenang'. Apa yang saya maksudkan dengan 'Si Pemenang' di sini ialah seseorang yang apabila berbicara dengannya, lidah dia hanya menceritakan tentang kehebatan dirinya, kelebihannya, bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk dengan apa yang dimilikinya. Boleh dikatakan orang sebgini ini, seperti sombong dan meninggi diri pun ada juga! Nauzubillah...Ya Allah, hindarkanlah saya daripada sifat-sifat sebegitu. Ini kerana, sesungguhnya Allah S.W.T. melaknati syaitan dan iblis itu kerana sifat sombong mereka yang merasakan diri lebih hebat kerana diciptakan daripada api maka tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam a.s yang diciptakan Allah daripada tanah.
                Apabila berbicara dengan orang sebegini, sememangnya tiada suatu perkara pun yang kita akan menang. Semua pun akan dia lebih menang berbanding dengan kita. Jika orang ada, sudah semestinya dia pun akan milikinya juga! Malahan apa yang dipunyainya itu sudah pastilah lebih hebat, lebih baik, lebih cantik, lebih bagus, lebih berkualiti, lebih moden dan mungkin juga lebih canggih daripada orang lain. Bukan tujuan saya memburuk-burukkan golongan sebegini, tetapi sekadar untuk merenungkan diri sendiri juga. Adakala apabila berbicara dengan mereka ini boleh buat kita tergelak besar dengan kelakuan mereka itu, tetapi sebenarnya jauh di sudut hati saya merasakan kasihan dan berdoa semoga dia menyedari akan keterlanjuran bicara lidahnya itu. Ini kerana ianya bukan sahaja boleh menyebabkan orang lain yang mendengarnya terasa hati, memendam rasa dan tidak menyukainya malahan pada pendapat saya Allah juga tidak suka. Wallahualam...
                Pada saya sikap sebegini bukan sahaja boleh membawa seseorang itu ke arah bermegah diri tetapi boleh juga menjerumuskan dirinya untuk menipu juga. Ini kerana, demi menjaga maruah diri dan enggan beralah, 'Si Pemenang' ini mungkin akan mereka-reka cerita dan mengada-adakan sesuatu yang mungkin mereka tidak punyai, tidak pasti atau tidak berlaku. Jika kita fikirkan mengapa meraka ini boleh menjadi sebegitu? Jawapannya mudah sahaja iaitu kerana ingin berasa diri dihormati dan dipandang tinggi oleh orang lain serta keegoan yang diselaputi dengan rasa tidak mahu dipandang hina dan direndah-rendahkan oleh orang sekeliling mereka. Mereka ini akan lebih senang hati dan gembira jika orang melemparkan kata-kata pujian dan berbangga dengan apa yang mereka ada. Sedangkan disebalik itu, apakah mereka tidak fikirkan kesan atas tindakan lidah mereka itu jika sekiranya kebenaran terbongkar suatu masa nanti bukankah mereka juga akan mendapat malu?
                Jadi, nasihat saya sekiranya berhadapan dengan golongan sebegini janganlah kita turut memukul gendang mengikut rentak seperti mereka. Bertikam lidah untuk bertanding hebat antara satu sama lain dan tidak ada pula yang mahu beralah. Jika kita pun sama seperti mereka, bimbang pula situasi yang negetif dan lebih buruk akan berlaku seperti mula merasa dengki dan iri hati dan bertindak diluar jangkaan kewarasan akal fikiran kita. Lebih elok jika kita ini berdiam diri atau mengiyakan sahajalah bicara mereka itu. Ingatlah semula pesanan Rasulullah, bukankah berkata yang baik atau berdiam diri itu lebih elok? Ada juga sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa diam itu umpama emas. Orang yang lebih bijak akan sentiasa menjaga lidahnya dan kurang bicaranya tetapi banyak kerjanya. Sebaliknya orang yang lemah itu banyak pula berbicara, tetapi kerjanya kurang. Buatlah pilihan untuk diri kita sendiri orang yang bagaimana kita ingin jadi!
                Seboleh-bolehnya, walaupun kita mampu janganlah kita menunjuk-nunjuk dengan kemampuan kita itu. Hidup biarlah besederhana. Mampu, tapi tak mahu! Itu lebih afdal. Bukan apa, jika sudah menunjuk-nunjuk bimbang lidah kita terlanjur bicara dan tidak dapat dikawal pula. Takut Allah akan murka pada kita semata-mata angkara si lidah yang menjadi kunci segla urusan di dunia. Akhir penulisan, yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk itu kelemahan saya semata-mata. Coretan ini hanyalah sekadar luahan dan pandangan saya semata-mata kepada perkara-perkara yang saya rasakan remeh bagi sesetengah individu tetapi kesannya amat mendalam buat ramai pihak. Jauhilah perkara yang tidak elok terutama apabila hidup bermasyarakat ini. Tidak semua orang boleh menerima kita, pendapat kita dan sehaluan dengan kita. Maka, berhati-hatilah terutama apabila berbicara. InsyaAllah, semoga Allah melindungi kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan hati kita dan menjauhkan Dia daripada kita...Amin...
Sekian sahaja dahulu, wassalam...