Isnin, 2 Julai 2012

...KERANA MULUT, BADAN BINASA...


                Sedang saya asyik menyelak satu persatu halaman muka surat sebuah buku islamik simpanan peribadi yang juga merupakan suatu pemberian bermakna daripada seorang sahabat lama sewaktu perpisahan kami dahulu, selakkan terhenti pada suatu topik yang membincangkan tentang amalan-amalan ke syurga. Bagaikan ada suatu tarikan tersendiri, terdetik di hati untuk membaca topik tersebut dengan lebih lanjut lagi. Ternyata kata hati memang ada kebenarannya. Topik tersebut sememangnya membincangkan sesuatu yang amat bermakna buat diri saya. Ianya merupakan suatu petikan berkaitan sabda Nabi SAW yang membawa maksud;
"Semoga engkau selamat. Adakah yang menjadikan orang tersungkur di atas, mukanya (ada yang meriwayatkan batang hidungnya) di dalam neraka, selain ucapan lidah mereka?".
Kemudian sabda Nabi SAW itu diperjelaskan lagi dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud;
"Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam".
                Memahami petikan sabda Nabi SAW itu, saya merasa sedar akan betapa hebatnya kuasa lidah terhadap seseorang individu itu. Begitulah lidah, melaluinya dapat menentukan hala mana kita akan tuju selepas di hitung di akhirat kelak. Samada ke syurga atau ke nerakakah kita, ianya terpulang kepada perbicaraan yang disampaikan melalui lidah kita sewaktu di dunia ini. Disebabkan itulah, maka sebagai umat islam kita seringkali diingatkan agar menjaga lidah kita dengan baik terutama sekali sewaktu berbicara kerana ianya merupakan kunci kepada segala urusan kita.
                Namun apa yang disesalkan kini, hari demi hari semakin berlalu dan manusia seringkali kalah dengan pelbagai godaan yang akhirnya menyebabkan kita semakin lupa, lalai dan alpa. Semakin ramai yang tidak tahu akan kewujudan sabda Nabi SAW itu. Malahan ada pula yang sememangnya tahu mengenainya, tetapi sengaja memandang sepi akan tuntutan Rasulullah tersebut. Jadi tidak hairanlah jika kita melihat kepada situasi pada hari ini, semakin ramai manusia yang tidak pandai menjaga lidah mereka dan ingin bersuara, bercakap serta berbicara mengenai apa sahaja atas dasar hak kebebasan bersuara. Biarpun kadangkala apa yang diperkatakannya itu adalah sesuatu yang auta semata-mata!
                Lidah, seperti yang diketahui umum ianya berkait rapat dengan percakapan. Bila menyentuh tentang percakapan ini pula, kita tidak akan lari daripada adab-adab sewaktu bercakap. Adab bercakap ini telah didedahkan kepada kita semenjak dari kecil lagi. Ibubapa seringkali menasihati anak-anak masing-masing agar bercakap dengan baik, bersopan-santun, berbudi bahasa, lemah lembut dan sebagainya tanda menghormati pihak yang sedang mendengar percakapan kita itu. Ianya selari dengan tuntutan agama Islam kita serta sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW. Adab bercakap ini turut diajari diperingkat sekolah dan telah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat kita.
                Pertuturan lidah yang dijaga dengan baik akan menyebabkan si pendengar merasa damai dan selesa berkomunikasi dengan kita. Ingatlah bahawa, jika kita tidak mahu orang lain menuturkan sesuatu yang kurang enak tentang kita...maka, orang lain juga akan merasakan perkara yang sama. Semua orang ingin diri rasa dihormati. Jadi, hormatilah diri orang lain dengan berbicara sebaik mungkin terlebih dahulu jika rasa diri ingin dihormati pula. Tidak kiralah usia kita tua mahupun muda, bercakap dengan baik menjadi suatu perkara yang semestinya buat kita kerana ianya sesuatu yang dituntut dalam agama.
                Jujur saya katakan di sini, saya sendiri agak terkilan dengan fenomena yang berlaku pada waktu ini. Entah dimana silapnya, manusia kini semakin tidak pandai untuk menjaga lidah mereka dengan baik dan berbicara dengan penuh adab sepertimana yang telah diajarkan dan dipelajari. Apabila seseorang bercakap dengan baik, ada pula yang membalas dengan kasar dan biadab. Dan, pada pengamatan saya perkara sebegini berlaku dikalangan semua peringkat tidak kira usia tua dan muda. Jika situasi sebegini berterusan, manakan dapat yang muda mencontohi kelembutan berbicara si tua dan yang tua pula rasa dicontohi adab-adab percakapan mereka oleh orang-orang yang lebih muda?
                Pernah suatu ketika dahulu, saya agak terkejut dengan respon seorang nenek tua yang melenting bagaikan tidak ingat dunia dan akhirat apabila ditegur dengan baik oleh seorang anak muda tentang satu kesalahan yang dilakukannya. Perkara ini terjadi di hadapan mata saya sendiri. Pada saya teguran yang dibuat oleh anak muda itu sudah penuh dengan adabnya yang berhemah, berbudi bahasa dan sopan. Malahan tutur bicaranya juga lembut, perlahan dan penuh kebaikan. Tetapi balasan si nenek tua itu amat memeranjatkan saya. Bukan sahaja membalas dengan meninggi suara, menengking-nengking pula. Tidak sudah dengan itu, kata-katanya penuh dengan maki hamun dan menghina si anak muda tadi. Dapat saya bayangkan perasaan malu yang terpaksa ditanggung anak muda itu tadi.
                Terfikir di dalam hati saya, kenapakah si nenek tua tersebut perlu memberikan respon yang sebegitu atas teguran baik anak muda tersebut telah lakukan? Apakah yang cuba nenek tua itu buktikan? Dengan reaksi sebegitu rupa, bukankah ianya lebih menggambarkan ciri-ciri negetif yang ada padanya? Dimana caranya tersebut menunjukkan si nenek tua itu berkelakuan tidak elok dan tidak boleh dicontohi langsung. Mungkin juga boleh menimbulkan rasa marah dan tidak hormat kepadanya walaupun usianya sudah tua. Atau, dek kerana berasa ego dengan usianya yang sudah tua itu maka dia merasakan dirinya tidak boleh ditegur walaupun dia ternyata bersalah dan ditegur secara baik!
                Paling menyedihkan saya ialah diakhir bicara nenek tua tersebut dia berkata sesuatu kepada anak muda itu yang sekali gus menjawab segala persoalan yang bermain difikiran saya itu tadi: "Aku ni orang tua. MANA ADA BUAT SALAH! Aku yang makan garam lebih banyak pada kau, apa yang kau tahu? Memandai saja nak mengajar aku! Hormatlah sikit orang tua! Kurang ajar punya budak..." . Benarlah, kerana dia lebih tua usianya maka dia berasakan dirinya tidak lagi layak untuk ditegur. Ya Allah, ampunkanlah nenek tua itu. Begitu hebat Kau mengujinya sehinggakan dia sedikit terlupa akan kuasa lidahnya itulah nanti yang bakal menentukan syurga atau neraka buat dirinya. Namun, terserahlah pada Allah untuk menilai dan menentukannya. Saya hanya manusia yang mungkin menilai mengikut pandangan saya sahaja kerana keterbatasan pengetahuan saya. Tetapi Allah itu Maha Mengetahui segalaNya.
                Pada pandangan saya, tua atau muda bukan pengukur untuk menilai siapa salah dan siapa betul. Yang bersalah tetap bersalah tidak kiralah usianya tua atau muda! Dan, jika bersalah redhalah sekiranya diri ditegur tambahan pula jika teguran tersebut diberikan secara tulus dan penuh kebaikan. Maka berlapang dadalah untuk menerimanya. Bukankah begitu lebih baik daripada membalas dengan cara yang negetif? Lagipun, sekiranya Allah ingin menimpakan balasaNya ke atas kita, bukannya dilihat pada rupa paras, usia, pangkat atau darjat kita. Allah tetap akan menghukum sesiapa sahaja setimpal dengan perbuatan kita di dunia ini tidak mengira apa juga alasannya. Dengan itu, walaupun muda atau tua seseorang itu lidahnya mesti di jagai dengan baik agar  terhindar daripada golongan yang dimurkai Allah S.W.T.
                Kebanyakkan anak muda yang dilahirkan pada zaman sekarang ini pun telah dilahirkan di dalam dunia yang serba berpengetahuan dan celik ilmunya. Malahan, ada sesetengah daripada mereka ini mempunyai ilmu pengetahuan agama yang lebih mendalam daripada orang tua yang ada sekarang. Jadi, sekiranya begitu mengapa pula orang yang tua tidak dapat menerima dengan baik teguran atau pendapat yang diberikan oleh anak muda pada zaman sekarang? Dan, mengapa mereka yang lebih berusia ini perlu merasakan hanya pendapat mereka sahaja yang betul dan perlu diikut walaupun salah, serta berasa diri sendiri sahaja yang betul dan tidak pernah berasa bersalah? Jika difikirkan, tidak bolehkah golongan ini berlapang dada, berfikiran terbuka dan sesekali merendahkan diri dan beralah sahaja bagi menerima pula pendapat orang yang lebih muda? Bukan untuk tujuan memperkecil atau menyinggung mereka...tetapi untuk kebaikkan mereka dan membaiki kesalahan sementara masa masih ada. 
                Satu lagi perihal lidah yang seringkali menyebakan saya sakit hati dan terasa hati ialah apabila kita berbicara dengan 'Si Pemenang'. Apa yang saya maksudkan dengan 'Si Pemenang' di sini ialah seseorang yang apabila berbicara dengannya, lidah dia hanya menceritakan tentang kehebatan dirinya, kelebihannya, bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk dengan apa yang dimilikinya. Boleh dikatakan orang sebgini ini, seperti sombong dan meninggi diri pun ada juga! Nauzubillah...Ya Allah, hindarkanlah saya daripada sifat-sifat sebegitu. Ini kerana, sesungguhnya Allah S.W.T. melaknati syaitan dan iblis itu kerana sifat sombong mereka yang merasakan diri lebih hebat kerana diciptakan daripada api maka tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam a.s yang diciptakan Allah daripada tanah.
                Apabila berbicara dengan orang sebegini, sememangnya tiada suatu perkara pun yang kita akan menang. Semua pun akan dia lebih menang berbanding dengan kita. Jika orang ada, sudah semestinya dia pun akan milikinya juga! Malahan apa yang dipunyainya itu sudah pastilah lebih hebat, lebih baik, lebih cantik, lebih bagus, lebih berkualiti, lebih moden dan mungkin juga lebih canggih daripada orang lain. Bukan tujuan saya memburuk-burukkan golongan sebegini, tetapi sekadar untuk merenungkan diri sendiri juga. Adakala apabila berbicara dengan mereka ini boleh buat kita tergelak besar dengan kelakuan mereka itu, tetapi sebenarnya jauh di sudut hati saya merasakan kasihan dan berdoa semoga dia menyedari akan keterlanjuran bicara lidahnya itu. Ini kerana ianya bukan sahaja boleh menyebabkan orang lain yang mendengarnya terasa hati, memendam rasa dan tidak menyukainya malahan pada pendapat saya Allah juga tidak suka. Wallahualam...
                Pada saya sikap sebegini bukan sahaja boleh membawa seseorang itu ke arah bermegah diri tetapi boleh juga menjerumuskan dirinya untuk menipu juga. Ini kerana, demi menjaga maruah diri dan enggan beralah, 'Si Pemenang' ini mungkin akan mereka-reka cerita dan mengada-adakan sesuatu yang mungkin mereka tidak punyai, tidak pasti atau tidak berlaku. Jika kita fikirkan mengapa meraka ini boleh menjadi sebegitu? Jawapannya mudah sahaja iaitu kerana ingin berasa diri dihormati dan dipandang tinggi oleh orang lain serta keegoan yang diselaputi dengan rasa tidak mahu dipandang hina dan direndah-rendahkan oleh orang sekeliling mereka. Mereka ini akan lebih senang hati dan gembira jika orang melemparkan kata-kata pujian dan berbangga dengan apa yang mereka ada. Sedangkan disebalik itu, apakah mereka tidak fikirkan kesan atas tindakan lidah mereka itu jika sekiranya kebenaran terbongkar suatu masa nanti bukankah mereka juga akan mendapat malu?
                Jadi, nasihat saya sekiranya berhadapan dengan golongan sebegini janganlah kita turut memukul gendang mengikut rentak seperti mereka. Bertikam lidah untuk bertanding hebat antara satu sama lain dan tidak ada pula yang mahu beralah. Jika kita pun sama seperti mereka, bimbang pula situasi yang negetif dan lebih buruk akan berlaku seperti mula merasa dengki dan iri hati dan bertindak diluar jangkaan kewarasan akal fikiran kita. Lebih elok jika kita ini berdiam diri atau mengiyakan sahajalah bicara mereka itu. Ingatlah semula pesanan Rasulullah, bukankah berkata yang baik atau berdiam diri itu lebih elok? Ada juga sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa diam itu umpama emas. Orang yang lebih bijak akan sentiasa menjaga lidahnya dan kurang bicaranya tetapi banyak kerjanya. Sebaliknya orang yang lemah itu banyak pula berbicara, tetapi kerjanya kurang. Buatlah pilihan untuk diri kita sendiri orang yang bagaimana kita ingin jadi!
                Seboleh-bolehnya, walaupun kita mampu janganlah kita menunjuk-nunjuk dengan kemampuan kita itu. Hidup biarlah besederhana. Mampu, tapi tak mahu! Itu lebih afdal. Bukan apa, jika sudah menunjuk-nunjuk bimbang lidah kita terlanjur bicara dan tidak dapat dikawal pula. Takut Allah akan murka pada kita semata-mata angkara si lidah yang menjadi kunci segla urusan di dunia. Akhir penulisan, yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk itu kelemahan saya semata-mata. Coretan ini hanyalah sekadar luahan dan pandangan saya semata-mata kepada perkara-perkara yang saya rasakan remeh bagi sesetengah individu tetapi kesannya amat mendalam buat ramai pihak. Jauhilah perkara yang tidak elok terutama apabila hidup bermasyarakat ini. Tidak semua orang boleh menerima kita, pendapat kita dan sehaluan dengan kita. Maka, berhati-hatilah terutama apabila berbicara. InsyaAllah, semoga Allah melindungi kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan hati kita dan menjauhkan Dia daripada kita...Amin...
Sekian sahaja dahulu, wassalam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan