Ahad, 17 Jun 2012

...SELAMAT HARI BAPA...ABAH..

        Tersenyum kepuasan hati melihat gelagat si kecil dua orang anak perempuanku yang baru berusia 3 tahun dan 2 tahun itu merangkul erat ayah mereka sambil mengucapkan "Happy Father's Day, Ayah...". Lantas ciuman manja diberikan...sebelah kanan oleh si kakak, manakala di sebelah kirinya pula si adik. Kemudian si ayah membalasnya dengan mencium mesra anak-anak sambil mengucapkan "Terima kasih, anak-anak yang ayah sayangi...".

        Mungkin dalam usia setahun jagung itu mereka masih belum mengerti apa-apa. Tetapi mereka sebenarnya telah faham dengan apa yang kita ucapkan dan apa yang terjadi. Keadaan sebegitu sudah cukup buat diriku untuk membantu mereka mengerti bahawa mereka menyayangi ayah mereka dan ayah mereka juga sayang akan mereka. Semoga kasih sayang sebegini berpanjangan buat selamanya dan lahir daripada hati yang tulus ikhlas.

        Lantas fikiran aku melayang mengenangkan abah di kampung halaman yang sudah lama tidak aku jumpa. Semoga abah sihat selalu, dilindungi Allah S.W.T dan dirahmati-Nya sentiasa. Jadi di sini...mengambil kesempatan pada hari yang baik ini bersempena Hari Bapa, aku ingin mengucapkan "...Selamat Hari Bapa buat abah...". Semoga abah berasa gembira dengan ucapanku ini dan tahu yang aku sangat menyayanginya seumur hidupku.

       Sesungguhnya abah, tak terbalas segala jasamu terhadap diri ini. Hanya ungkapan terima kasih yang tidak terhingga sahaja mampu aku ucapkan. Tanpamu abah, tak mungkin aku dapat membesar dengan penuh kasih sayang, sempurna dan berjaya menjadi seorang anak seperti mana diriku yang ada kini. Aku sedar telah banyak pengorbanan yang dikau curahkan buat diriku sepanjang membesarkan aku. Dan, semua itu tidak mampu untuk aku membalasnya...hanya Allah S.W.T yang mampu membalasnya dengan pembalasan yang baik, adil dan selayaknya.

        Abah, mungkin ada hari-hari yang telah kita lalui bersama memberikan kenangan yang manis dan indah buat dirimu. Aku harap dikau simpan dan abadikanlah kenangan manis kita itu dalam ingatanmu buat selamanya. Tetapi, mungkin juga ada di antara hari-hari tersebut yang membuatkan dirimu berasa sedih, terluka dan kecewa dengan diriku. Maka, aku menyusun sepuluh jariku memohon maaf tidak terhingga padamu abah kerana membuatkan dirimu berasa sebegitu rupa.

        Ketahuilah abah, sepanjang usiaku dari kecil sehingga ke saat ini...tidak terdetik sedikit pun di hatiku untuk menghancurkan harapanmu. Malahan setiap hari setiap masa, doaku padamu hanyalah satu iaitu ingin melihat dikau hidup lebih gembira dan seringkali memikirkan yang terbaik buat dirimu agar dikau hidup lebih senang di masa hadapan nanti. Percayalah abah, setiap apa yang aku lakukan pada hari ini adalah yang aku fikirkan terbaik buat diriku dan dirimu juga. Dan, aku tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha agar menjadi anakmu yang lebih baik walaupun kini aku telah bekerluarga.

         Semoga dengan didikan agama yang telah engkau ajari kepadaku dahulu akan dapat membantu aku menjadi seorang muslimah yang sejati dan seorang isteri yang mentaati suamiku. Walaupun kini suamiku berhak sepenuhnya ke atas diriku, namun abah...semoga dengan berkat ketaatan aku terhadapnya itu akan membantu dirimu mendapatkan keampunan daripada Allah S.W.T suatu masa kelak. Ini seperti mana yang telah diceritakan:
Seorang lelaki keluar hendak pergi dan berjanji kepada isterinya agar jangan turun dari rumahnya di bahagian atas ke bawah. Padahal ayah si isteri sedang sakit di bawah. Si isteri menyampaikan utusan kepada Rasulullah SAW mohon izin turun menziarahi ayahnya. Rasulullah SAW berkata "Taatilah suamimu!". Sehingga ayahnya meninggal. Maka, dia menyampaikan utusannya lagi kepada Rasululla mohon izin menziarahi ayahnya. Sekali lagi Rasulullah mengatakan "Taatilah suamimu!". Kemudian ayahnya meninggal dan Nabi menghantarkan utusannya kepada perempuan itu serta mengkhabarkan kepadanya bahawa ayahnya telah mendapatkan keampunan dari Allah S.W.T sebab ketaatannya kepada suaminya.

        Akhir ucapan, sekali lagi aku ingin memohon maaf di atas segala kesilapanku dan aku juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih abah atas kesanggupanmu menjagai aku semenjak aku kecil sehinggalah dewasa dengan penuh bertanggungjawab dan amanah. Semoga Allah memberkati hidupmu, abah...InsyaAllah...Amin.

       ...Selamat Hari Bapa...sayang abah selamanya... 
(Ucapan ini khas ditujukan buat ayahandaku tercinta, En. Abdullah Zawawi B. Abdul Rahman)
       

      
       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan