Sabtu, 16 Jun 2012

...MENCARI ERTI KEJAYAAN HIDUP YANG SEBENAR...

Kejayaan...
        Semua orang ingin mengecapi suatu kejayaan di dalam kehidupan mereka. Rasanya tiada manusia di muka bumi ini yang tidak ingin berjaya. Jika ditanyakan kepada penagih dadah yang seringkali dilabelkan sebagai sampah masyarakat sekalipun, golongan sebegini juga pastinya ingin mencapai kejayaan dalam hidup mereka. Mungkin jika sudah dapat menyuntik, menghisap atau menelan dadah tersebut itulah suatu kejayaan bagi golongan sebegini. Dimana mereka akan merasakan puas dan tenang selepas mengecapi atau mendapatkannya.
        Jika ditafsirkan erti kejayaan secara berkamusnya, ia membawa maksud telah mencapai atau mendapatkan sesuatu yang dimatlamatkan. Ini bererti, untuk berjaya seseorang itu hendaklah menetapkan sesuatu yang ingin dicapai di dalam kehidupannya. Kemudian dia hendaklah berusaha bersungguh-sungguh ke arah menggapai perkara tersebut dan, setelah perkara tersebut telah direalisasikan menjadi miliknya atau dalam erti kata lain telah pun digenggami maka, ianya dikatakan telah berjaya di dalam hidupannya. Namun itu adalah penafsiran erti kejayaan hidup secara bersuratnya sahaja kerana jika kita tafsirkan erti kejayaan di dalam kehidupan secara logik akalnya pula, ia akan membawa maksud yang berbeza-beza mengikut pandangan masing-masing.
       Persoalannya di sini ialah, apakah bagi menggelarkan diri kita sebagai seorang manusia yang berjaya ianya memerlukan untuk kita mengambil masa yang lama dalam suatu kehidupan kita? Atau, mungkinkah dalam masa yang singkat juga sekiranya sesuatu matlamat yang telah kita tetapkan sudah tercapai apakah itu juga boleh dianggapkan yang diri kita sudah pun berjaya di dalam kehidupan? Dan, kejayaan yang bagaimanakah yang boleh dikatakan yang hidup kita ini sebenar-benarnya telah berjaya?
        Sekali lagi, dalam menjawab segala persoalan ini ianya terpulang pada pandangan dan pegangan hidup setiap individu itu sendiri. Tiada suatu penilaian yang tetap pun dapat diputuskan ke atas seseorang individu itu untuk mengesahkan yang dia ini sudah berjaya di dalam kehidupannya! Iyalah mana tidaknya, jika ditanyakan kepada golongan pelajar apakah matlamat anda untuk mencapai kejayaan hidup anda? Sudah semestinya jawapan mereka ialah mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan dan dapat menjejakkan kaki ke menara gading.
       Selepas itu, kita tanyakan pula pada mereka yang sedia berada di menara-menara gading dengan soalan yang sama. Ternyata mereka merasakan walaupun sudah berada di menara gading, mereka masih lagi belum mencapai kejayaan di dalam kehidupan mereka. Ini kerana pada pandangan golongan ini pula, kejayaan akan dicapai sekiranya mereka dapat menamatkan pengajian dengan baik, mendapatkan segulung ijazah yang diiktiraf dan memperolehi kerjaya yang hebat. Maka kita ajukan pula soalan tersebut kepada golongan yang sedia bergelar siswazah, sudah sedia bekerja dan menyandang jawatan yang hebat pula.
        Ternyata kedudukan dan tahap di mana mereka berada sekarang juga bukannya adalah suatu tahap yang masih boleh dianggapkan sebagai telah berjaya di dalam hidup. Ini kerana, bagi mereka ini pula kejayaan masih belum tercapai dek kerana masih banyak keperluan dan keinginan yang belum tercapai untuk dimiliki. Sebagai contohnya, masih sikit duit simpanan yang ada, kereta pun tidak mewah, rumah pun kecil sahaja dan harta benda masih banyak belum terkumpul secara peribadinya.
       Jadi, ini menunjukkan walaupun bekerjaya dan berjawatan hebat sekalipun, ianya belum cukup untuk melabelkan seseorang individu itu sudah berjaya di dalam kehidupan mereka. Masih banyak perkara yang dimatlamatkan tidak tercapai dan belum berada di genggaman. Pastinya golongan sebegini masih merasakan perlunya berusaha dengan lebih gigih dan masih banyak kekurangan. Malahan, ada juga walaupun sudah bergelar jutawan, hartawan atau dermawan sekali pun tetapi masih menganggap diri sebagai tidak lagi berjaya di dalam kehidupan. Mereka masih berasa tidak puas hati dan masih lagi belum merasakan tenang untuk berhenti daripada terus berusaha.
        Maka dengan ini, sekali lagi diajukan persoalan apakah sebenarnya erti kejayaan di dalam kehidupan kita ini yang seringkali menjadi sebutan dan persaingan setiap manusia untuk mendapatkannya? Suka saya untuk mengajak kita berbalik kepada kisah si penagih dadah tadi. Sekurang-kurangnya golongan sebegini akan merasa puas dan tenang setelah apa yang mereka hajatkan telah dapat dicapai dan dipenuhi untuk melepaskan gian mereka. Itu pun, mereka ini sudah menganggapkan ianya suatu kejayaan yang cukup besar dan bermakna walaupun hakikat kemanisan yang dirasainya hanya buat seketika cuma. Tetapi berlainan pula bagi kita yang berfikiran waras dan sihat walafiat ini. Makin diusahakan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, semakin banyak pula yang kita rasakan yang belum cukup dan belum memuaskan hati. Hidup juga masih belum betul-betul tenang kerana walaupun sudah dapat tetapi masih banyak yang belum dimiliki. Maka, hidup dikatakan masih belum berjaya lagi. Betul atau tidak?
        Bagi diri sendiri pula, dalam mencari erti kejayaan hidup yang sebenar saya berpegang kepada asasnya semula. Kesyukuran kepada Allah S.W.T. di atas segala yang ditakdirkanNya dan diberikan serta menerima semua kententuanNya dengan seadanya menjadi landasan untuk mengukur tahap kejayaan hidup. Ingatlah! Bukanlah kejayaan hidup itu boleh dicapai dengan menggenggami suatu matlamat sahaja tetapi pada saya, hidup ini mestilah banyak matlamat untuk dicapai barulah kita akan merasakan benar-benar telah berjaya di dalam kehidupan kita.
        Dahulu sewaktu kecil, seperti insan lain pandangan saya tentang kejayaan di dalam kehidupan juga adalah sama. Iaitu, ingin menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya dapat menjadi seorang pendidik. Alhamdulillah, sepanjang mengejar erti kejayaan tersebut dengan berkat doa dan usaha...5 tahun yang lepas akhirnya saya telah pun dapat menunaikan dan mencapai matlamat tersebut. Namun begitu, walaupun matlamat itu telah tercapai, saya masih juga merasakan hidup saya belum lagi benar-benar berjaya. Masih banyak perkara yang belum tergapai dan banyak juga perkara-perkara yang berlaku yang belum lagi boleh membuatkan saya menarik nafas dengan lega dan merasakan tenang dengan apa yang telah dimiliki.
       Sepanjang berkhidmat sebagai seorang pendidik, saya tetapkan pelbagai matlamat untuk dicapai dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Sekali lagi, walaupun terlaksana segalanya namun masih ada juga rasa tidak puas hati lahir dari dalam diri dan kejayaan yang sebenar masih belum saya rasai. Ternyata pada kedudukan saya itupun, saya masih lagi merasakan belum benar-benar berjaya di dalam kehidupan saya.
       Kini setelah 5 tahun berlalu, oleh kerana sebab-sebab yang tertentu yang sememangnya telah ditakdirkan buat saya dan tidak dapat dielakkan lagi saya bergelar pula seorang surirumah sepenuh masa. Dengan 'jawatan' baru saya ini, sudah semestinya saya juga merupakan seorang ibu iaitu merupakan suatu tugas yang lebih berat dan mencabar yang saya rasakan berbanding pekerjaan saya lalui dahulu. Maka, selari dengan status saya kini jadi saya telah tetapkan pula matlamat yang lain untuk dicapai. Sebagai seorang ibu, sudah semestinya kejayaan melihat anak-anak membesar di depan mata dengan sihat, pintar dan semakin hari semakin mampu berdikari sudah menjadi suatu kepuasan dalam diri. Tetapi, pada saya tiada matlamat yang lebih utama untuk dicapai oleh seorang ibu bagi merasakan dirinya benar-benar telah berjaya melainkan melihat kejayaan hidup anak-anak apabila mereka dewasa kelak. Jadi, itulah yang cuba saya usahakan kini agar matlamat saya sebagai seorang ibu dapat tercapai dan saya boleh berasa tenang di masa hadapan kelak.
        Setelah anak-anak membesar dan semuanya telah berjaya, barangkali disaat itu barulah boleh saya mula meneruskan matlamat hidup saya yang lain pula bagi memberikan erti kejayaan hidup saya yang lebih bermakna lagi. Semoga impian saya untuk melanjutkan pelajaran dan membuka perniagaan berunsurkan akedamik dan ilmiah dapat diusahakan dan terlaksana juga suatu masa nanti. Semua itu memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi kerana saya tahu untuk mendapatkan kejayaan, tiada jalan pintas ke arahnya.
       Mengimbau kembali perjalanan hidup saya, jalan menuju kejayaan yang perlu saya lalui agak bercabang-cabang dan berliku-liku serta penuh onak dan duri jika dibandingkan dengan sesetengah yang lain yang dilihat dengan senang sahaja boleh berjaya. Tetapi semua itu bukan penghalang buat diri saya. Saya percaya, selagi saya berserah pada Allah S.W.T dan banyakkan bersabar, insyaAllah Allah akan membantu mempermudahkan segala urusan saya bagi mencapai kejayaan tersebut. Masa yang diperlukan untuk bersabar bagi mencapai segala matlamat hidup saya itu mungkin memakan masa yang lama atau mungkin juga singkat sahaja jika dengan izinNya...tetapi jika tercapai matlamat-matlamat tersebut sekali pun suatu masa nanti, jauh di dalam hati saya masih tertanya-tanya apakah kehidupan saya sudah dapat dikatakan benar-benar berjaya pada masa itu dan saya boleh dilabelkan sebagai seorang yang berjaya di dalam hidupnya?
      Pada pandangan saya juga, bagi melihat kejayaan hidup seseorang itu ianya juga boleh diterjemahkan melalui tahap-tahap perkembangan prestasi kehidupan seseorang tersebut. Ini sejajar dengan firman Allah S.W.T. yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan dia berusaha mengubahnya sendiri. Jadi berpegang dengan itu, maka pada saya seseorang itu boleh dikatakan berjaya di dalam hidupnya jika tahap kehidupannya ada perkembangan. Contohnya, jika seseorang itu pada awalnya berjawatan biasa sahaja, dia akan dikatakan telah berjaya sekiranya setelah 5 tahun kemudiannya dia meningkat menjadi ketua dan mungkin 5 tahun seterusnya menjadi pengarah pula. Tidaklah dia hanya statik di suatu tahap sahaja tanpa ada sebarang perkembangan dan pembaharuan dalam hidupnya sehinggakan sudahlah bermula dengan jawatan biasa-biasa sahaja dan sehingga pencen pun masih di gelar macam itu juga!      
      Bagi perkembangan diri sendiri pula mungkin jauh berbeza jika dibandingkan dengan yang lain. Jika 5 tahun yang lalu saya seorang pensyarah dan mendapat gaji bulanan yang agak memuaskan, tetapi kini saya hanya bergelar surirumah sahaja yang mengharapkan wang pemberian suami setiap bulan. Kalau diikutkan fikiran logiknya, pada masyarakat di luar sana perkembangan sebegini bukanlah suatu kejayaan tetapi suatu kerugian! Kebodohan! Dan, semestinya ramai yang akan meluahkan kata-kata "lebih baiklah kehidupannya yang lalu yang lebih berjaya jika dibandingkan dengan hidupnya sekarang. Dulu ada kerja dan berduit sendiri, hidup pun mesti lebih senang!". Saya hanya mampu tersenyum dan berlapang dada dengan kata-kata mereka yang sememangnya mulut manusia tidak mampu untuk ditutup. Biarkanlah...
       Jadi, melihat kepada perkara yang terjadi pada saya ini ianya berbalik kepada maksud kejayaan itu sendiri di mana ianya ditafsirkan berbeza-beza mengikut pendapat dan pandangan serta pegangan hidup individu itu sendiri. Bagi saya, sudah semestinya tahap perkembangan hidup saya kini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan masa lalu walaupun kini saya hanya bergelar surirumah. Kejayaan paling besar dan manis yang saya rasakan selepas melepaskan jawatan saya ialah mencapai KEBAHAGIAAN hidup bersama-sama suami dan anak-anak tercinta. Ternyata KEBAHAGIAAN hidup sebegini tidak pula saya rasai sewaktu saya bekerja dahulu dan tidak pula saya dapat membelinya walaupun saya berduit. Erti kejayaan sebenar di dalam hidup ialah jika kita mencapai kebahagiaan. Apalah gunanya berjaya tetapi hidup merana, bercerai-berai, anak-anak porak-peranda dan diri kekosongan jiwa. 
      Benarlah kata si pujangga, "Setiap kejayaan perlukan pengorbanan". Saya korbankan kerjaya saya demi keluarga saya yang lebih memerlukan saya dan yang paling penting dengan pengorbanan ini saya merasakan hidup saya lebih bermakna dan berjaya. Pada saya, tidak perlu manusia untuk menilai setiap keputusan dan perbuatan yang telah saya lakukan. Cukuplah Allah S.W.T yang menilai dan menentukan segalanya ke atas saya. Ini takdir saya, inilah nasib saya dan seperti yang saya katakan tadi berbaliklah pada asas iaitu saya cukup bersyukur pada-Nya dengan semua yang telah ditentukan ini dan menerima segalanya dengan seadanya. Buat seketika ini, mungkin saya boleh bernafas dengan lega dan merasakan telah berjaya mengikut pandangan saya sendiri. Tetapi, matlamat kejayaan hidup saya ada banyak lagi yang belum tercapai dan ianya takkan terhenti pada tahap ini sahaja. InsyaAllah, akan saya teruskan usaha dan berdoa serta bersabar melalui segala dugaaNya demi mencapai matlamat-matlamat yang lain pula di masa hadapan sekali gus memberikan lebih makna untuk mencipta kejayaan sebenar di dalam kehidupan saya.
       Jika hendak berjaya, keluarlah daripada zon selesa. kejayaan dalam hidup ini memerlukan perjalanan yang ada naik dan turunnya sepertimana air yang ada pasang dan surutnya. Zon selesa hanya menjanjikan keselesaan tetapi belum pasti memberikan kesenangan dan kejayaan buat diri kita. Janganlah takut untuk mencuba perkara yang baru kerana pengalaman yang kita perolehi itu adalah lebih bermakna yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Pengalaman juga mampu mengajar kita erti hidup yang lebih baik dan membaiki segala kesilapan lampau yang boleh merosakkan hidup kita. Kejayaan hidup yang sebenar memerlukan pengalaman yang banyak agar kita boleh bangkit dan berdiri dengan sendiri seutuhnya walaupun dugaan datang melanda.
       Mungkin dari segi material orang yang hidup di dalam zon selesa ini dapat miliki apa yang dihajati seperti orang lain juga, tetapi apakah mereka mampu miliki pengalaman disaat jatuh dan disaat bangun semula? Apakah mereka mampu miliki perasaan suka dan duka di saat mempunyai dan tiada sesuatu? Dan, apakah mereka dapat miliki ketabahan diri dan kekentalan jiwa sekiranya badai melanda seperti mana orang-orang berjaya milikinya? Bimbang juga jika orang-orang di zon selesa ini tatkala tersungkur nanti, takut-takut tidak mampu untuk bangkit kembali! Berusahalah untuk terus berjaya di dalam hidup kita seolah-olah memanjat tangga ke langit yang tidak tahu di mana penghujungnya. Begitulah erti kejayaan hidup yang sebenar...tiada kata pemutus untuk bergelar Si Berjaya! Akhir kalam, sekian...wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan