Suatu petang di Bulan Ramadhan yang mulia, jiranku di sebelah rumah memberikan salam dan menghulurkan sedikit makanan. Katanya buat hidangan sampingan di waktu berbuka puasa nanti. Maka, aku menerimanya dengan hati yang senang dan mengucapkan berbanyak terima kasih di atas pemberiannya itu. Walaupun kami baru sahaja berkenalan kerana aku baru sahaja berpindah ke kawasan tersebut, dalam hatiku cukup bersyukur kerana ditakdirkan berjiran dengan orang-orang yang baik hatinya. Tidak sabar rasanya untuk berbuka puasa dan menikmati hidangan pemberian jiranku itu. Biarpun sedikit sahaja, tapi cukuplah buat aku dan suami untuk sekadar merasainya. Alhamdulillah...bak kata pepatah melayu rezeki jangan di tolak, musuh jangan dicari.
Tatkala azan Maghrib berkumandang yang menandakan waktu untuk berbuka puasa pun telah tiba, selepas meminum sedikit air dan menjamah buah kurma aku terus memakan nasi. Entah kenapa hari ini aku berasa betul-betul lapar. Mungkin juga disebabkan telah seharian menyimpan dan mengemas rumah disamping itu juga aku sedang mengandungkan anak ke-3 ku yang ketika itu usia kandungannya sekitar 4 ke 5 bulan. Tetapi berbeza pula dengan suami, selepas meminum air dan memakan buah kurma dia kemudiannya merasai terlebih dahulu makanan yang telah diberikan oleh jiran kami tadi. Kelihatan berselera juga dia memakan hidangan tersebut. Sedap agaknya. Kata hatiku. Namun, aku sedikit hairan dengannya kerana apabila ditanya pendapat dia tentang rasa makanan itu suami hanya diam membisu dan menyuruh aku merasainya sendiri sahaja.
Sesudah itu, suami terus bangun dari tempat duduknya kerana katanya cukup dahulu dan ingin pergi menunaikan solat. Selepas solat nanti baru dia akan sambung untuk memakan nasi pula. Takut kenyang sangat, malas pula katanya. Aku cuma menganggukkan kepala sahaja tanda mengiyakan apa yang dikatakan. Selera aku masih terbuka dan belum mahu berhenti lagi. Selepas nasi dihabiskan, tangan aku cepat sahaja mencapai makanan pemberian jiranku pula. Melihat reaksi suami menyebabkan aku rasa teruja dan tidak sabar sungguh untuk merasainya. Tiba-tiba suami memegang bahuku sambil berkata "Rasailah dan kemudian bersyukurlah. Ini rezeki kita dibulan mulia, sedap ke tak ke terimalah seadanya. Jangan pula komen apa-apa melainkan bersyukur Alhamdulillah. Esok, awak ucapkan terima kasih sekali lagi dan bagilah apa-apa pula ya...".
Aku cuma tersenyum mengangguk membalas kata-kata suamiku itu. Walaupun aku sememangnya berasa pelik dan tidak faham kenapa tiba-tiba dia berkata begitu, aku hanya diam dan meneruskan niatku untuk merasai masakan pemberian jiran kami itu. Tanpa berlengah lagi aku mencubit sedikit dan memasukkannya ke dalam mulut. Dengan satu gigitan dan kunyahan, maka lahirlah suatu rasa yang agak semacam rasanya bagiku. Oh, kini baru aku faham! Patutlah abang awal-awal lagi pesan padaku sebegitu. Dek kerana pesanan mulia suami aku tadi, maka ku kuncikan mulut rapat-rapat dan terus memakannya untuk menghabiskannya. Tidak elok pula kalau aku biarkan begitu sahaja dan membazir. Aku cuba positifkan diri dengan menyatakan masakan ini di buat sewaktu berpuasa. Tidak boleh rasa. Jadi, pastikan ada kekurangannya. Mungkin kali ini giliran dia yang memasak tetapi tidak menjadi, mana tahu esok-esok giliran aku pula yang terkena. Maka, bersyukurlah...Alhamdulillah.
Kisah ini aku coretkan kerana aku tahu ianya bukan sahaja pernah terjadi kepada diriku seorang tetapi ramai lagi di luar sana yang telah mengalaminya. Jadi, aku mengambil kesempatan daripada kisah ini sebenarnya untuk menyedarkan diriku dan diri yang lain juga akan hikmah disebalik kejadian seumpama ini. Pesanan aku pada semua, bersyukurlah dengan apa sahaja pemberian jiran kita tersebut tidak kiralah jika ianya baik atau buruk buat kita, elok atau cacat rupanya, mahupun sedap atau tidak rasanya. Ini seraya dengan pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda,:
"Wahai wanita muslimah janganlah jiran memperkecilkan (pemberian) jirannya walaupun (pemberian) itu hanya berupa kaki kambing".
Merenung akan hadis tersebut sesungguhnya ada banyak sebab, hikmah dan nikmat mengapa Baginda bersabda sedemikian buat kita umatnya dan dinyatakan juga wahai wanita khususnya. Bukanlah pesanan Rasulullah itu sengaja dibuat-buat, melainkan sesuatu kebaikan yang berlipat ganda akan diperolehi kita sekiranya mengikutinya. Kenapa pula wanita yang lebih disebutkan ya? Bagiku yang juga seorang wanita, jawapannya mudah sahaja iaitu kerana wanita sememangnya suka bercakap! Tidak kira apa isunya mestikan ada yang bercakap. Tambah-tambah jika ada yang tidak kena dengan hatinya pula, pasti lantang sahaja bersuara dan sukar sekali untuk mendiamkan diri serta bersabar.
Di sini suka sekali untuk aku kongsikan sedikit kemanisan yang aku perolehi setelah aku bersyukur dengan pemberian jiranku tadi. Terima kasih buat suami kerana telah mengajarkan aku erti untuk bersyukur dan menutup mulutku daripada membuat sebarang komen. Pada aku, antara kebaikan yang aku dapati melalui kejadian itu ialah keakraban kami yang hidup sebagai jiran sebelah-menyebelah ini semakin bertambah baik. Malahan selepas kejadian itu, kami langsung tidak berasa malu dan segan untuk terus berbalas-balas menukar makanan walaupun bukan dibulan puasa. Seolah-olah telah menjadi seperti kebiasaan pula buat kami berdua untuk saling menghulur dan memberikan apa yang ada agar sama-sama dapat berkongsi dan merasainya. Tidak kiralah sedap atau tidak, tetapi keseronokan memberi itu lebih dirasai. Lagipun, mana yang lemah dan kurang dapat juga sama-sama fikirkan untuk memperbaikinya.
Pernah juga aku fikirkan apalah yang akan terjadi sekiranya aku tidak patuh akan pesanan suamiku itu? Sudah tentulah aku akan mengkritik masakannya dengan lantang sekali tanpa berfikir panjang . Dan, sekiranya dia terdengar pula kritikan aku itu, pastinya akan buat dia terasa hati. Apabila hati sudah terasa, macam-macam boleh terjadi. Muka yang manis pun boleh memuncung menjadi masam mencuka. Pastinya dia akan lebih berhati-hati dengan aku dan tidak dapat berbaik-baik dengan aku seperti sekarang. Mana tidaknya mesti dia berasa bimbang takut-takut mulutku lantang sahaja mengkritiknya lagi di masa hadapan. Lebih buruk lagi kalau-kalau aku memalukan dia dengan kritikan aku itu...betapa berdosanya aku...sudahlah tidak reti bersyukur, mengaibkan orang pula tu? Nauzubillah...
Kisah seterusnya yang ingin aku kongsikan ini juga ada kaitannya dengan tajuk kali ini. Sekadar untuk meluahkan perasaan dan aku tahu ramai juga di luar sana yang pernah mengalami nasib seperti ini. Jadi sama-samalah kita menilai diri kita pula melalui kejadian-kejadian tersebut. Ianya mengenai seseorang yang amat rapat dengan aku dan kerjayanya sebagai tukang masak. Ada satu perangai yang aku sedikit tersentak dengannya dan membuatkan aku seringkali terasa hati dengan dia apabila bersamanya. Iaitu, sikap dia yang suka mengkritik dan tidak pernah berpuas hati dengan masakan yang dimasak oleh orang lain.
Setiap kali merasa masakan yang dimasak oleh orang lain, pasti ada sahaja komen-komen yang menyakitkan telinga akan terdengar. Walaupun padahal kita sudah membawa dia makan di tempat yang boleh dikatakan hebat, bertaraf bintang-bintang dan sering dikunjungi orang ramai, pada dia apabila sahaja makanan masuk ke dalam mulut dia...mesti tetap tidak sedap! Siap boleh makan sikit sahaja dan tolak pinggan ke tepi. Tak habis dengan itu, kemudian dia akan katakan kalau dia masak akan jadi lagi sedap. Suka sangat mengangkat diri sendiri dan memuji-muji masakan sendiri untuk dibandingkan dengan masakan orang lain. Bukankah lebih baik kalau dia berfikiran terbuka sedikit dan terima masakan orang lain itu seadanya. Sekurang-kurangnya bersyukurlah dapat merasai makanan tersebut. Kalaulah satu hari nikmat merasa itu ditarik balik..macam mana? Waktu itu, tidak guna untuk menyesali lagi.
Kalau boleh, setiap kali dapat makan itu rasalah dengan penuh keikhlasan kerana itu adalah suatu rahmat yang patut kita syukuri. Mana tidaknya di luar sana entah berapa ramai lagi manusia yang tidak dapat makan yang secukupnya? Mungkin disebabkan kemiskinan, kebuluran, bencana alam dan sebagainya. Bagi mereka ini, kalau dapat makan walaupun benda yang tidak sedap pun dah jadi suatu rahmat yang besar kerana dapat mengisi perut kelaparan. Tetapi, mengapa kita yang dengan senang dan mudah sahaja mendapat makanan ini tidak pula pandai untuk menghargai dan mensyukurinya? Mudah-mudahan selepas ini, kalau kita makan janganlah mulut pun cepat sahaja nak mengomen itu dan ini. Senyap sahajalah dan beringat-ingatlah akan sabda Rasulullah SAW semula. Mudah-mudahan kita mendapat berkat daripada apa yang kita makan itu yang bakal menjadi darah daging kita juga.
Satu lagi kisah ini diceritakan oleh sahabatku tentang perangai ibunya sendiri. Bukan aku ingin memalukan sesiapa tetapi aku juga belajar daripada apa yang berlaku dengan doa mudah-mudahan suatu hari nanti aku tidak akan menjadi seperti itu. InsyaAllah. Katanya dia sangat berkecil hati dengan perangai ibunya yang tidak pandai untuk menunjukkan rasa menghargai setiap pemberian yang diberikan oleh anak-anak. Apabila dibelikan sesuatu barang, ibunya mengambilnya tetapi dengan pelbagai komen dan kata-kata yang boleh melemahkan semangat si pemberi. Sampai ada di antara adik-beradiknya yang menjadi serik untuk membeli barang-barang lagi dan hanya mengirimkan duit sahaja untuk ibunya membeli sendiri apa yang disukainya.
Bukan setakat adik-beradik, anak menantu juga ada yang terasa hati sebab apabila diberikan barang dibandingkan pula barang itu dengan pemberian menantu lain atau dengan barang yang dibeli oleh orang lain. Ada sahaja yang tidak kena. Bukan nak terima baik-baik, senyum dan ucapkan terima kasih tanda menghargai pemberian itu tetapi sebaliknya memperkecil-kecilkan pula pemberian itu. Alangkah sedihnya dan tergurisnya hati anak-anak dan menantunya. Tidakkah si ibu fikirkan betapa gembiranya hati si anak kalau dia menerima pemberian itu dengan baik, jujur dan dengan hati yang terbuka? Tunjukkanlah sedikit rasa berterima kasih mungkin dengan pujian yang ringkas atau cukup dengan berdiam dan senyuman kegembiraan. Si anak juga mesti akan berasa senang hati untuk menghadiahkan dia bermacam perkara lagi kerana tahu si ibu menerima dengan seadanya dan menghargainya.
Ingatlah! Adakalanya untuk memberikan sesuatu kepada seseorang itu ada yang sampai sanggup melakukan apa sahaja. Setiap pemberian itu amat bermakna buat si pemberi. Tidak kiralah sesiapa pun, jika menerima sesuatu pemberian daripada seseorang itu, hargailah dan berterima kasihlah. Kemudian bersyukurlah dengan pemberian itu. Mungkin si pemberi tadi sudah begitu bersusah payah untuk mendapatkan barangan tersebut semata-mata untuk diberikan kepada kita. Ada yang sanggup bergolok gadai, ada juga yang sanggup bercekang mata, bekerja bertungkus lumus, mengikat perut, teringatkan kita siang dan malam demi memberikan sesuatu yang dirasakan sangat istimewa buat seseorang apatah lagi jika untuk diberikan kepada ibu sendiri.
Jika situasi yang sulit sedemikian yang terpaksa dilalui demi memberikan hadiah buat insan tersayang tetapi akhirnya tidak dihargai dan diperlekehkan begitu sahaja, apakah tidak layak untuk mereka ini merasa terkilan dan sakit hati? Fikirkanlah sejenak untuk renungan bersama. Sebagaimana ibubapa yang inginkan terbaik buat anak-anak, begitu juga seseorang anak-anak yang inginkan terbaik buat ibubapa mereka. Tambahan pula jika anak-anak sudah besar dan dewasa yang tidak ingin lagi melihat ibubapa mereka bersusah payah untuk mereka. Jadi, anak-anak ini adakalanya memikirkan untuk meringankan bebanan ibubapa mereka, maka mereka cuba untuk memberikan sesuatu buat kesenangan ibubapa. Jika balasan yang diterima adalah dengan kata-kata negetif dan tidak menunjukkan rasa berterima kasih atau menghargainya...sudah tentulah hati anak-anak juga akan terasa. Semoga kita tidak akan menjadi ibubapa yang sebegitu. Dan, semoga ibubapa diluar sana juga hargailah anak-anak yang ada dan pemberian mereka. Syukurilah...
Akhir sekali, renungilah sabda seterusnya ini buat keinsafan kita bersama sebagai manusia yang merupakan hamba Allah dan akan kembali kepadaNya juga.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Sesiapa diberi suatu kebaikan hendaklah dia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya dia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi, dia dianggap kufur nikmat."
Sesungguhnya, yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah kelemahan sendiri selaku manusia yang sememangnya tidak lepas dari kesilapan. Semoga dengan membaca coretan ini, kita semua dapat berasa bersyukur dan lebih menghargai setiap apa yang kita ada dan miliki. Jika ada pemberian orang itu, sepatutnya kita berasa terharu kerana di dalam dunia ini ada juga yang sayang dan mengingati kita.
Sekian dahulu, Assalamualaikum...
good stuff
BalasPadamr4 card