Sesiapa pun di dunia ini ingin merasai dirinya dihargai apatah lagi dihormati oleh orang lain. Maka, untuk itu kita seringkali dinasihatkan agar berbuat baiklah kepada orang lain jika ingin dibalas dengan kebaikan juga. Maksudnya, kalau kita inginkan orang menghargai kita...maka mulalah dengan menghargai orang terlebih dahulu. Begitu juga jika kita ingin orang lain menghormati kita, maka mulakanlah dengan menghormati orang lain. Namun begitu, persoalannya di sini ialah berapa ramaikah yang telah mengikuti nasihat ini dan menerima balasan yang seperti mana diharapkan? Malah ada juga yang berbuat baik, tetapi balasannya ditikam-tikam dan dipijak-pijak pula dari belakang! Adilkah begitu?
Benarlah, pengalaman itu guru terhebat yang dapat mengajar kita erti hidup yang sebenar. Bila mana menempuhi saat-saat berbuat baik tetapi tidak dibalas dengan baik ini...maka, berlapang dadalah. Ikhlaskanlah hati sewaktu memberikan kebaikan pada orang itu. Supaya dengan hati yang ikhlas, kita tidak mengharapkan apa-apa balasan daripadanya. Pada mulanya memang agak sukar kerana hati merasa sakit sangat! Mana tidaknya, kadangkala kita terpaksa berkorban demi untuk berbuat baik padanya...tetapi apa yang dibalas, adalah sebaliknya! Ingatlah, jika kita bersabar dengan penuh keyakinan dan mengaharapkan balasan daripada Allah SWT...bukannya untuk mendapat balasan daripada manusia...insyaAllah, hati kita akan kembali tenang.
Ini kerana Allah itu Maha Adil lagi bijaksana. Keadilan akan diberikan juga buat kita jika kita benar-benar ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara yang baik itu. Biasanya Allah akan menolong kita semula dalam keadaan yang halus yang adakalanya kita sendiri tidak perasan bahawasanya itulah pertolongan Allah kepada kita atas kebaikan yang kita telah lakukan kepada orang lain. Dan, Allah juga akan bentangkan pertolongan itu dalam bentuk yang meluas yang datang daripada pelbagai pihak dan cara yang mana sudah semestinya bukannya hanya datang daripada orang yang kita berbuat baik itu sahaja. Maksudnya di sini, jika kita berbuat baik pada Si A...janganlah terlalu mengharapkan balasan yang baik juga dari Si A. Ini kerana, tidak semestinya Si A akan membalas kebaikan kita itu walaupun kita telah berbuat baik padanya! Tetapi, Allah akan membantu kita disaat-saat kita memerlukanNya dengan menghadirkan pula Si B, Si C atau apa juga cara yang akan menolong dan memberikan kebaikan kepada kita pula.
Kepada insan-insan yang mendapat kebaikan daripada orang lain, dinasihatkan berikanlah sedikit rasa penghargaan dan penghormatan atas kebaikan yang telah dilakukan itu. Sekurang-kurangnya ucapkanlah "Terima kasih" kepada orang yang berbuat baik kepada kita. Paling tidak pun, seandainya rasa diri tidak mampu membalasnya, maka doakanlah supaya Allah sahaja yang membalas segala jasa baik yang telah dihulurkan dengan perkara yang baik juga. Jangan pula mudah kita lupa akan kebaikan yang orang itu telah hulurkan kepada kita. Dimana, apabila kita sudah senang dek kerana mendapat kebaikan daripadanya, maka kita dengan sesuka hati melakukan apa sahaja malahan perkara-perkara yang menyakitkan hati orang yang pernah berbuat baik pada kita itu. Dan tatkala dilanda kesusahan semula...datang pula terhegeh-hegeh meminta dibelas kasihan.
Akhir kalam, suka untuk meninggalkan pesanan ringkas di sini bagi ingatan buat diri sendiri dan juga para pembaca juga. Benarlah kata bidalan Melayu dahulu kala "Berbuat baik biarlah berpada-pada, tetapi berbuat jahat jangan sekali". Jika difikirkan semula, kenapakah kata bidalan ini menyeru kita untuk berbuat baik tetapi hendaklah berpada-pada? Jawapannya mudah sekali! Kerana...diluar sana terdapat terlalu ramai manusia yang kejam yang sentiasa dan seringkali mengambil peluang untuk mendapatkan kebaikan, tetapi tidak pandai untuk membalas dengan kebaikan juga! Tidak pandai menghargai dan tidak juga pandai menghormati orang yang telah menolong dan membantu memberikan segala yang terbaik buat mereka.
Dan, bagi mereka-mereka yang suka berbuat baik tidak kira kepada sesiapa pula...jangan risau kalau tidak mendapat balasan yang setimpalnya daripada manusia-manusia kejam itu. Kerana Allah telah berjanji bahawasanya:
"Sesiapa melakukan amal yang baik, maka baginya pahala sepuluh kali lipat amalnya."
(Surah Al-An'Am 6:160)
Sesungguhnya mengharapkan balasan pahala daripada Allah itu lebih baik daripada kita menanti dan mengharapkan balasan kebaikan daripada manusia. Jadi...Janganlah berhenti berbuat baik, walaupun hati seringkali sakit! Sekian, wassalam...=)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan