Tanggal 23 Jun 2012 yang lalu, genaplah setahun aku meninggalkan kerjayaku yang telah aku ceburi selama hampir 4 tahun sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej matrikulasi. Walaupun buat segelintir, 4 tahun itu hanyalah suatu jangka masa pendek sahaja namun bagiku ianya cukup memberikan makna yang mendalam dan membuahkan pengalaman yang tidak mungkin aku perolehi di mana-mana atau dibeli dengan wang ringgit. Pelbagai ilmu dan pengajaran yang dapat aku pelajari walaupun hanya bekerja dalam tempoh sesingkat itu.
Mungkin nasib tidak menyebelahi aku berbanding insan yang lain, maka aku terpaksa mengalah dengan apa yang telah ditakdirkan padaku. Beberapa insiden peribadi yang berlaku menyebabkan aku terpaksa melepaskan juga kerjaya yang telah lama aku cita-citakan itu demi sesuatu yang lebih baik buat aku dan keluargaku. Inilah pengorbanan ku...dan aku harap akan ada hikmahnya disebalik pengorbananku ini. InsyaAllah...
Sesungguhnya di dalam hati ini, masih tersimpan cita-cita dan semangat untuk bekerjaya semula suatu masa nanti. Tambahan pula jiwa ku seorang pendidik masih agak menebal dan merasakan sangat ingin berkongsikan ilmu serta pengalaman bersama-sama para pelajar. Harap-harap suatu masa nanti cita-citaku ini dapat diteruskan semula dengan izin-Nya. Apa yang penting sekarang ini, biarlah masa yang menentukan segalanya. Bersabarlah...Bertawakallah...Tunggulah... Bak kata pepatah Melayu dahulu kala "Kalau hendak seribu jalan, kalau tidak hendak seribu alasan!".
Setahun yang berlalu bukanlah satu perjalanan yang lurus yang terpaksa aku lalui. Sesungguhnya dalam tempoh itu, banyak perkara yang telah terjadi padaku. Selain daripada halangan untuk menyambung pelajaran kerana keadaan yang tidak mengizinkan, aku juga diuji dengan suatu dugaan yang besar yang amat memberikan impak kepada kehidupanku. Semua ini aku anggap ketentuan Illahi buat diriku untuk menguji sejauh mana keimananku padaNya. Tamparan hebat yang terpaksa aku hadapi itu ialah sewaktu aku kehilangan anak kecilku yang ketika itu baru sahaja berusia 52 hari.
Ya Allah, hebat sungguh ujianMu padaku kali ini. Tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata betapa hidupku jadi tidak menentu disaat itu. Menghadapi hari-hari berlalu dengan penuh kesedihan dan aku begitu lemah bukanlah sekuat seperti yang difikirkan. Kematian anak benar-benar mematahkan semangatku untuk terus bertahan menghadapi hari depan. Ianya telah merubah kehidupanku sepenuhnya! Hanya Allah yang lebih mengetahuinya. Dan, hanya Allah juga tempat aku bergantung dan mengadu. Dalam tempoh bangkit kembali melupakannya, aku berserah diri hanya pada Allah. Ketenanganku hanya tercapai apabila aku mendekatkan diri pada-Nya dan mula belajar bersabar dalam erti kata yang sebenarnya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda dalam Hadis Qudsi;
Allah SWT berfirman maksudnya:
"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah aku ambil kembali kekasihnya (aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang disayangi oleh seseorang) di kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripada-Ku (dengan bersabar)." - Hadis riwayat Bukhari.
Benarlah seperti yang dijanjikan, hanya kesabaran kunci menghadapi segala ujian. Dengan bersabar, barulah aku dapat menghadapi semuanya dengan lebih tenang dan tabah lagi. Tambahan pula dengan berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, aku ditakdirkan untuk mengandung lagi yang kini Alhamdulillah sedang sihat membesar di dalam rahimku ini. InsyaAllah, tidak lama lagi dia akan dilahirkan dan semoga Allah melindungi dia dan memberikan dia kesihatan yang baik. Semoga apa yang diberikan Allah ini adalah yang terbaik buat aku dan keluarga bagi mengubati hati kami yang rindu.
Kalau dahulu mungkin aku cepat melatah dan berputus asa dengan dugaan dan ujian yang terpaksa aku hadapi. Ternyata disebalik pengalaman bersabar dalam menghadapi tamparan hebat itu telah banyak mengajar aku untuk lebih bersedia menghadapi sebarang ujian-Nya lagi. Aku lebih pasrah dengan takdir yang Maha Esa. Benar! Pasrah tanpa berusaha juga tidak digalakkan bimbang pula tidak sampai kemana kerana Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dia berusaha mengubahnya sendiri. Tetapi kita juga kena ingat dan akui bahawasanya sejauh mana pun kita berusaha dan merancang namun ketentuannya tetap pada Allah SWT. Maka redhalah...
Buat seketika ini, selepas setahun yang berlalu dengan pelbagai ujian yang menimpa...aku cukup bersyukur dan berasa bahagia dengan keadaan aku ketika ini. Tiada perancangan besar yang aku tetapkan, sekadar untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik lagi. Itulah tumpuan aku yang utama buat waktu ini. Izinkanlah aku untuk berehat dan mencari haluan hidupku yang baru. Benarkanlah aku bernafas agar aku lebih lega untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Biarkanlah mulut-mulut orang yang ingin bicarakan tentang aku dan apa yang terjadi padaku. Sememangnya hanya Allah yang mampu membalas akan perbuatan mereka itu dengan setimpalnya. Mereka hanya pandai berkata-kata tetapi tidak pula pernah cuba untuk menyelami ke dasar apa yang aku alami, tidak juga cuba untuk mengerti...apa lagi memahami. Berserahlah pada Allah sahaja.
Aku tidak mahu percayakan pada manusia lebih daripada aku percaya kepada Allah. Kerana aku tahu Allah yang Maha Berkuasa dalam menentukan segala-galanya. Dan, aku percaya setiap yang ditimpakan-Nya ke atas aku ini tidak kira yang lepas, sekarang mahupun di suatu masa nanti adalah yang terbaik buat aku dan akan ada hikmah dan nikmat disebaliknya. InsyaAllah...Doakanlah aku untuk terus tabah dan bersabar dalam menghadapi hari-hari mendatang. Semoga aku memperolehi kejayaan juga di dunia ini suatu masa nanti dan berjaya juga di akhirat kelak. Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku...amin.
Sekian, wassalam.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya;
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Orang mukmin samada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah SWT, samada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah SWT tanpa dia membawa dosa sedikit pun." - Hadis riwayat Imam Tirmizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan