Sabtu, 14 Julai 2012

...JULAI YANG ISTIMEWA....

Alhamdulillah, pejam celik-pejam celik dah tiba Bulan Julai lagi. Setahun berlalu bagaikan sekelip mata sahaja. Walaupun sudah pun memasuki pertengahan bulan Julai...tetapi, ada sesuatu yang paling penting buat diriku dan buat umat islam keseluruhannya yang masih belum kunjung tiba. Dan, waktunya akan tiba juga dalam beberapa hari sahaja lagi. Tak sabarnya untuk mengharungi hari-hari seterusnya di dalam Bulan Julai tahun ini yang bagiku sangat istimewa berbanding yang lepas-lepas! Yeah!

Pasti pembaca di luar sana sudah dapat mengagak apakah yang dimaksudkan dengan 'sesuatu yang paling penting' yang ada dalam Bulan Julai tahun ini kan? Ya! Sudah semestinya kehadiran Bulan Ramadahan Al-Mubarak yang sememangnya dinanti-nantikan dan dirindui kehadirannya oleh semua umat islam sedunia. Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan sepanjang Bulan Ramadhan ini jugalah umat islam akan berpuasa dimana dapatlah sedikit sebanyak menambahkan amal ibadah serta mengurangkan berbuat perkara-perkara yang dapat mengurangkan pahala. Jadi ambillah peluang keemasan ini untuk kita perbanyakkan lagi pahala agar dapat dijadikan bekalan buat kita di akhirat sana. Jom Puasa dan beramal dengan lebih baik lagi kali ini nak tak?=)

Selain kehadiran bulan mulia itu, sebenarnya dalam Bulan Julai ini jugalah diri ini telah dilahirkan. InsyaAllah, seminggu selepas berpuasa...maka akan tibalah giliran tarikh lahirku pula. Gembira sangat sebab kali pertama dapat menyambut Hari Jadi di dalam Bulan Ramadhan yang mulia. Doaku harap-harapnya dengan mengambil keberkatan sempena bulan puasa ini, semoga cukupnya umur pada kali ini akan menjadikan aku seorang muslimah yang lebih dekat pada Illahi, isteri yang lebih solehah dan lebih mentaati suami lagi, seorang anak yang lebih baik dan ibu yang lebih mithali. InsyaAllah! Yalah, aku pun bukanlah semakin muda lagi, umur makin meningkat...anak pun makin banyak...dan mereka pun sudah makin besar...Ingin jadi contoh buat mereka agar mereka merasai ibu mereka adalah ibu yang terbaik daripada kalangan yang terbaik! InsyaAllah...

Sebelum mengakhiri coretan kali ini, suka juga mengambil peluang di sini untuk mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR buat puteri-puteri kesayanganku. Seorang dilahirkan pada awal Bulan Jun yang lepas (8/6) iaitu adiknya, manakala kakaknya telah dilahirkan juga dalam Bulan Julai! Iaitu pada hari ini 14/7...Ini yang membuatkan Julaiku kali ini lebih bermakna lagi...JULAI YANG ISTEMEWA...Sesungguhnya tiada yang lebih membahagiakan hati ibu melainkan melihat kebahagiaan dan kegembiraan kalian. Jadilah anak-anak yang solehah dan semoga sentiasalah dilindungi Allah SWT selalu hendak-Nya. Ibu sayaaaaanggg sangat anak-anak ibu! Mmmuah...

Kakak NADHIRAH (14/7 - 3thn) bersama adik kesayangannya Angah NADHRAH (8/6 - 2thn 1bln)
Sekian dahulu buat kali ini...semoga anda semua dirahmati Allah SWT selalu...InsyaAllah..amin...

Khamis, 5 Julai 2012

...BERSYUKURLAH...

                Suatu petang di Bulan Ramadhan yang mulia, jiranku di sebelah rumah memberikan salam dan menghulurkan sedikit makanan. Katanya buat hidangan sampingan di waktu berbuka puasa nanti. Maka, aku menerimanya dengan hati yang senang dan mengucapkan berbanyak terima kasih di atas pemberiannya itu. Walaupun kami baru sahaja berkenalan kerana aku baru sahaja berpindah ke kawasan tersebut, dalam hatiku cukup bersyukur kerana ditakdirkan berjiran dengan orang-orang yang baik hatinya. Tidak sabar rasanya untuk berbuka puasa dan menikmati hidangan pemberian jiranku itu. Biarpun sedikit sahaja, tapi cukuplah buat aku dan suami untuk sekadar merasainya. Alhamdulillah...bak kata pepatah melayu rezeki jangan di tolak, musuh jangan dicari.
                Tatkala azan Maghrib berkumandang yang menandakan waktu untuk berbuka puasa pun telah tiba, selepas meminum sedikit air dan menjamah buah kurma aku terus memakan nasi. Entah kenapa hari ini aku berasa betul-betul lapar. Mungkin juga disebabkan telah seharian menyimpan dan mengemas rumah disamping itu juga aku sedang mengandungkan anak ke-3 ku yang ketika itu usia kandungannya sekitar 4 ke 5 bulan. Tetapi berbeza pula dengan suami, selepas meminum air dan memakan buah kurma dia kemudiannya merasai terlebih dahulu makanan yang telah diberikan oleh jiran kami tadi. Kelihatan berselera juga dia memakan hidangan tersebut. Sedap agaknya. Kata hatiku. Namun, aku sedikit hairan dengannya kerana apabila ditanya pendapat dia tentang rasa makanan itu suami hanya diam membisu dan menyuruh aku merasainya sendiri sahaja.
                Sesudah itu, suami terus bangun dari tempat duduknya kerana katanya cukup dahulu dan ingin pergi menunaikan solat. Selepas solat nanti baru dia akan sambung untuk memakan nasi pula. Takut kenyang sangat, malas pula katanya. Aku cuma menganggukkan kepala sahaja tanda mengiyakan apa yang dikatakan. Selera aku masih terbuka dan belum mahu berhenti lagi. Selepas nasi dihabiskan, tangan aku cepat sahaja mencapai makanan pemberian jiranku pula. Melihat reaksi suami menyebabkan aku rasa teruja dan tidak sabar sungguh untuk merasainya. Tiba-tiba suami memegang bahuku sambil berkata "Rasailah dan kemudian bersyukurlah. Ini rezeki kita dibulan mulia, sedap ke tak ke terimalah seadanya. Jangan pula komen apa-apa melainkan bersyukur Alhamdulillah. Esok, awak ucapkan terima kasih sekali lagi dan bagilah apa-apa pula ya...".
                Aku cuma tersenyum mengangguk membalas kata-kata suamiku itu. Walaupun aku sememangnya berasa pelik dan tidak faham kenapa tiba-tiba dia berkata begitu, aku hanya diam dan meneruskan niatku untuk merasai masakan pemberian jiran kami itu. Tanpa berlengah lagi aku mencubit sedikit dan memasukkannya ke dalam mulut. Dengan satu gigitan dan kunyahan, maka lahirlah suatu rasa yang agak semacam rasanya bagiku. Oh, kini baru aku faham! Patutlah abang awal-awal lagi pesan padaku sebegitu. Dek kerana pesanan mulia suami aku tadi, maka ku kuncikan mulut rapat-rapat dan terus memakannya untuk menghabiskannya. Tidak elok pula kalau aku biarkan begitu sahaja dan membazir. Aku cuba positifkan diri dengan menyatakan masakan ini di buat sewaktu berpuasa. Tidak boleh rasa. Jadi, pastikan ada kekurangannya. Mungkin kali ini giliran dia yang memasak tetapi tidak menjadi, mana tahu esok-esok giliran aku pula yang terkena. Maka, bersyukurlah...Alhamdulillah.
                Kisah ini aku coretkan kerana aku tahu ianya bukan sahaja pernah terjadi kepada diriku seorang tetapi ramai lagi di luar sana yang telah mengalaminya. Jadi, aku mengambil kesempatan daripada kisah ini sebenarnya untuk menyedarkan diriku dan diri yang lain juga akan hikmah disebalik kejadian seumpama ini. Pesanan aku pada semua, bersyukurlah dengan apa sahaja pemberian jiran kita tersebut tidak kiralah jika ianya baik atau buruk buat kita, elok atau cacat rupanya, mahupun sedap atau tidak rasanya. Ini seraya dengan pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda,:
"Wahai wanita muslimah janganlah jiran memperkecilkan (pemberian) jirannya walaupun (pemberian) itu hanya berupa kaki kambing".
                Merenung akan hadis tersebut sesungguhnya ada banyak sebab, hikmah dan nikmat mengapa Baginda bersabda sedemikian buat kita umatnya dan dinyatakan juga wahai wanita khususnya. Bukanlah pesanan Rasulullah itu sengaja dibuat-buat, melainkan sesuatu kebaikan yang berlipat ganda akan diperolehi kita sekiranya mengikutinya. Kenapa pula wanita yang lebih disebutkan ya? Bagiku yang juga seorang wanita, jawapannya mudah sahaja iaitu kerana wanita sememangnya suka bercakap! Tidak kira apa isunya mestikan ada yang bercakap. Tambah-tambah jika ada yang tidak kena dengan hatinya pula, pasti lantang sahaja bersuara dan sukar sekali untuk mendiamkan diri serta bersabar.
                Di sini suka sekali untuk aku kongsikan sedikit kemanisan yang aku perolehi setelah aku bersyukur dengan pemberian jiranku tadi. Terima kasih buat suami kerana telah mengajarkan aku erti untuk bersyukur dan menutup mulutku daripada membuat sebarang komen. Pada aku, antara kebaikan yang aku dapati melalui kejadian itu ialah keakraban kami yang hidup sebagai jiran sebelah-menyebelah ini semakin bertambah baik. Malahan selepas kejadian itu, kami langsung tidak berasa malu dan segan untuk terus berbalas-balas menukar makanan walaupun bukan dibulan puasa. Seolah-olah telah menjadi seperti kebiasaan pula buat kami berdua untuk saling menghulur dan memberikan apa yang ada agar sama-sama dapat berkongsi dan merasainya. Tidak kiralah sedap atau tidak, tetapi keseronokan memberi itu lebih dirasai. Lagipun, mana yang lemah dan kurang dapat juga sama-sama fikirkan untuk memperbaikinya.
                Pernah juga aku fikirkan apalah yang akan terjadi sekiranya aku tidak patuh akan pesanan suamiku itu? Sudah tentulah aku akan mengkritik masakannya dengan lantang sekali tanpa berfikir panjang . Dan, sekiranya dia terdengar pula kritikan aku itu, pastinya akan buat dia terasa hati. Apabila hati sudah terasa, macam-macam boleh terjadi. Muka yang manis pun boleh memuncung menjadi masam mencuka. Pastinya dia akan lebih berhati-hati dengan aku dan tidak dapat berbaik-baik dengan aku seperti sekarang. Mana tidaknya mesti dia berasa bimbang takut-takut mulutku lantang sahaja mengkritiknya lagi di masa hadapan. Lebih buruk lagi kalau-kalau aku memalukan dia dengan kritikan aku itu...betapa berdosanya aku...sudahlah tidak reti bersyukur, mengaibkan orang pula tu? Nauzubillah...
                Kisah seterusnya yang ingin aku kongsikan ini juga ada kaitannya dengan tajuk kali ini. Sekadar untuk meluahkan perasaan dan aku tahu ramai juga di luar sana yang pernah mengalami nasib seperti ini. Jadi sama-samalah kita menilai diri kita pula melalui kejadian-kejadian tersebut. Ianya mengenai seseorang yang amat rapat dengan aku dan kerjayanya sebagai tukang masak. Ada satu perangai yang aku sedikit tersentak dengannya dan membuatkan aku seringkali terasa hati dengan dia apabila bersamanya. Iaitu, sikap dia yang suka mengkritik dan tidak pernah berpuas hati dengan masakan yang dimasak oleh orang lain.
                Setiap kali merasa masakan yang dimasak oleh orang lain, pasti ada sahaja komen-komen yang menyakitkan telinga akan terdengar. Walaupun padahal kita sudah membawa dia makan di tempat yang boleh dikatakan hebat, bertaraf bintang-bintang dan sering dikunjungi orang ramai, pada dia apabila sahaja makanan masuk ke dalam mulut dia...mesti tetap tidak sedap! Siap boleh makan sikit sahaja dan tolak pinggan ke tepi.  Tak habis dengan itu, kemudian dia akan katakan kalau dia masak akan jadi lagi sedap. Suka sangat mengangkat diri sendiri dan memuji-muji masakan sendiri untuk dibandingkan dengan masakan orang lain. Bukankah lebih baik kalau dia berfikiran terbuka sedikit dan terima masakan orang lain itu seadanya. Sekurang-kurangnya bersyukurlah dapat merasai makanan tersebut.  Kalaulah satu hari nikmat merasa itu ditarik balik..macam mana? Waktu itu, tidak guna untuk menyesali lagi.
                Kalau boleh, setiap kali dapat makan itu rasalah dengan penuh keikhlasan kerana itu adalah suatu rahmat yang patut kita syukuri. Mana tidaknya di luar sana entah berapa ramai lagi manusia yang tidak dapat makan yang secukupnya? Mungkin disebabkan kemiskinan, kebuluran, bencana alam dan sebagainya. Bagi mereka ini, kalau dapat makan walaupun benda yang tidak sedap pun dah jadi suatu rahmat yang besar kerana dapat mengisi perut kelaparan. Tetapi, mengapa kita yang dengan senang dan mudah sahaja mendapat makanan ini tidak pula pandai untuk menghargai dan mensyukurinya? Mudah-mudahan selepas ini, kalau kita makan janganlah mulut pun cepat sahaja nak mengomen itu dan ini. Senyap sahajalah dan beringat-ingatlah akan sabda Rasulullah SAW semula. Mudah-mudahan kita mendapat berkat daripada apa yang kita makan itu yang bakal menjadi darah daging kita juga.
                Satu lagi kisah ini diceritakan oleh sahabatku tentang perangai ibunya sendiri. Bukan aku ingin memalukan sesiapa tetapi aku juga belajar daripada apa yang berlaku dengan doa mudah-mudahan suatu hari nanti aku tidak akan menjadi seperti itu. InsyaAllah. Katanya dia sangat berkecil hati dengan perangai ibunya yang tidak pandai untuk menunjukkan rasa menghargai setiap pemberian yang diberikan oleh anak-anak. Apabila dibelikan sesuatu barang, ibunya mengambilnya tetapi dengan pelbagai komen dan kata-kata yang boleh melemahkan semangat si pemberi. Sampai ada di antara adik-beradiknya yang menjadi serik untuk membeli barang-barang lagi dan hanya mengirimkan duit sahaja untuk ibunya membeli sendiri apa yang disukainya.
                Bukan setakat adik-beradik, anak menantu juga ada yang terasa hati sebab apabila diberikan barang dibandingkan pula barang itu dengan pemberian menantu lain atau dengan barang yang dibeli oleh orang lain. Ada sahaja yang tidak kena. Bukan nak terima baik-baik, senyum dan ucapkan terima kasih tanda menghargai pemberian itu tetapi sebaliknya memperkecil-kecilkan pula pemberian itu. Alangkah sedihnya dan tergurisnya hati anak-anak dan menantunya. Tidakkah si ibu fikirkan betapa gembiranya hati si anak kalau dia menerima pemberian itu dengan baik, jujur dan dengan hati yang terbuka? Tunjukkanlah sedikit rasa berterima kasih mungkin dengan pujian yang ringkas atau cukup dengan berdiam dan senyuman kegembiraan. Si anak juga mesti akan berasa senang hati untuk menghadiahkan dia bermacam perkara lagi kerana tahu si ibu menerima dengan seadanya dan menghargainya.
                Ingatlah! Adakalanya untuk memberikan sesuatu kepada seseorang itu ada yang sampai sanggup melakukan apa sahaja. Setiap pemberian itu amat bermakna buat si pemberi. Tidak kiralah sesiapa pun, jika menerima sesuatu pemberian daripada seseorang itu, hargailah dan berterima kasihlah. Kemudian bersyukurlah dengan pemberian itu. Mungkin si pemberi tadi sudah begitu bersusah payah untuk mendapatkan barangan tersebut semata-mata untuk diberikan kepada kita. Ada yang sanggup bergolok gadai, ada juga yang sanggup bercekang mata, bekerja bertungkus lumus, mengikat perut, teringatkan kita siang dan malam demi memberikan sesuatu yang dirasakan sangat istimewa buat seseorang apatah lagi jika untuk diberikan kepada ibu sendiri.
                Jika situasi yang sulit sedemikian yang terpaksa dilalui demi memberikan hadiah buat insan tersayang tetapi akhirnya tidak dihargai dan diperlekehkan begitu sahaja, apakah tidak layak untuk mereka ini merasa terkilan dan sakit hati? Fikirkanlah sejenak untuk renungan bersama. Sebagaimana ibubapa yang inginkan terbaik buat anak-anak, begitu juga seseorang anak-anak yang inginkan terbaik buat ibubapa mereka. Tambahan pula jika anak-anak sudah besar dan dewasa yang tidak ingin lagi melihat ibubapa mereka bersusah payah untuk mereka. Jadi, anak-anak ini adakalanya memikirkan untuk meringankan bebanan ibubapa mereka, maka mereka cuba untuk memberikan sesuatu buat kesenangan ibubapa. Jika balasan yang diterima adalah dengan kata-kata negetif dan tidak menunjukkan rasa berterima kasih atau menghargainya...sudah tentulah hati anak-anak juga akan terasa. Semoga kita tidak akan menjadi ibubapa yang sebegitu. Dan, semoga ibubapa diluar sana juga hargailah anak-anak yang ada dan pemberian mereka. Syukurilah...
                Akhir sekali, renungilah sabda seterusnya ini buat keinsafan kita bersama sebagai manusia yang merupakan hamba Allah dan akan kembali kepadaNya juga.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Sesiapa diberi suatu kebaikan hendaklah dia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya dia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi, dia dianggap kufur nikmat."
                Sesungguhnya, yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah kelemahan sendiri selaku manusia yang sememangnya tidak lepas dari kesilapan. Semoga dengan membaca coretan ini, kita semua dapat berasa bersyukur dan lebih menghargai setiap apa yang kita ada dan miliki. Jika ada pemberian orang itu, sepatutnya kita berasa terharu kerana di dalam dunia ini ada juga yang sayang dan mengingati kita.
Sekian dahulu, Assalamualaikum...

Isnin, 2 Julai 2012

...KERANA MULUT, BADAN BINASA...


                Sedang saya asyik menyelak satu persatu halaman muka surat sebuah buku islamik simpanan peribadi yang juga merupakan suatu pemberian bermakna daripada seorang sahabat lama sewaktu perpisahan kami dahulu, selakkan terhenti pada suatu topik yang membincangkan tentang amalan-amalan ke syurga. Bagaikan ada suatu tarikan tersendiri, terdetik di hati untuk membaca topik tersebut dengan lebih lanjut lagi. Ternyata kata hati memang ada kebenarannya. Topik tersebut sememangnya membincangkan sesuatu yang amat bermakna buat diri saya. Ianya merupakan suatu petikan berkaitan sabda Nabi SAW yang membawa maksud;
"Semoga engkau selamat. Adakah yang menjadikan orang tersungkur di atas, mukanya (ada yang meriwayatkan batang hidungnya) di dalam neraka, selain ucapan lidah mereka?".
Kemudian sabda Nabi SAW itu diperjelaskan lagi dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud;
"Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam".
                Memahami petikan sabda Nabi SAW itu, saya merasa sedar akan betapa hebatnya kuasa lidah terhadap seseorang individu itu. Begitulah lidah, melaluinya dapat menentukan hala mana kita akan tuju selepas di hitung di akhirat kelak. Samada ke syurga atau ke nerakakah kita, ianya terpulang kepada perbicaraan yang disampaikan melalui lidah kita sewaktu di dunia ini. Disebabkan itulah, maka sebagai umat islam kita seringkali diingatkan agar menjaga lidah kita dengan baik terutama sekali sewaktu berbicara kerana ianya merupakan kunci kepada segala urusan kita.
                Namun apa yang disesalkan kini, hari demi hari semakin berlalu dan manusia seringkali kalah dengan pelbagai godaan yang akhirnya menyebabkan kita semakin lupa, lalai dan alpa. Semakin ramai yang tidak tahu akan kewujudan sabda Nabi SAW itu. Malahan ada pula yang sememangnya tahu mengenainya, tetapi sengaja memandang sepi akan tuntutan Rasulullah tersebut. Jadi tidak hairanlah jika kita melihat kepada situasi pada hari ini, semakin ramai manusia yang tidak pandai menjaga lidah mereka dan ingin bersuara, bercakap serta berbicara mengenai apa sahaja atas dasar hak kebebasan bersuara. Biarpun kadangkala apa yang diperkatakannya itu adalah sesuatu yang auta semata-mata!
                Lidah, seperti yang diketahui umum ianya berkait rapat dengan percakapan. Bila menyentuh tentang percakapan ini pula, kita tidak akan lari daripada adab-adab sewaktu bercakap. Adab bercakap ini telah didedahkan kepada kita semenjak dari kecil lagi. Ibubapa seringkali menasihati anak-anak masing-masing agar bercakap dengan baik, bersopan-santun, berbudi bahasa, lemah lembut dan sebagainya tanda menghormati pihak yang sedang mendengar percakapan kita itu. Ianya selari dengan tuntutan agama Islam kita serta sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW. Adab bercakap ini turut diajari diperingkat sekolah dan telah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat kita.
                Pertuturan lidah yang dijaga dengan baik akan menyebabkan si pendengar merasa damai dan selesa berkomunikasi dengan kita. Ingatlah bahawa, jika kita tidak mahu orang lain menuturkan sesuatu yang kurang enak tentang kita...maka, orang lain juga akan merasakan perkara yang sama. Semua orang ingin diri rasa dihormati. Jadi, hormatilah diri orang lain dengan berbicara sebaik mungkin terlebih dahulu jika rasa diri ingin dihormati pula. Tidak kiralah usia kita tua mahupun muda, bercakap dengan baik menjadi suatu perkara yang semestinya buat kita kerana ianya sesuatu yang dituntut dalam agama.
                Jujur saya katakan di sini, saya sendiri agak terkilan dengan fenomena yang berlaku pada waktu ini. Entah dimana silapnya, manusia kini semakin tidak pandai untuk menjaga lidah mereka dengan baik dan berbicara dengan penuh adab sepertimana yang telah diajarkan dan dipelajari. Apabila seseorang bercakap dengan baik, ada pula yang membalas dengan kasar dan biadab. Dan, pada pengamatan saya perkara sebegini berlaku dikalangan semua peringkat tidak kira usia tua dan muda. Jika situasi sebegini berterusan, manakan dapat yang muda mencontohi kelembutan berbicara si tua dan yang tua pula rasa dicontohi adab-adab percakapan mereka oleh orang-orang yang lebih muda?
                Pernah suatu ketika dahulu, saya agak terkejut dengan respon seorang nenek tua yang melenting bagaikan tidak ingat dunia dan akhirat apabila ditegur dengan baik oleh seorang anak muda tentang satu kesalahan yang dilakukannya. Perkara ini terjadi di hadapan mata saya sendiri. Pada saya teguran yang dibuat oleh anak muda itu sudah penuh dengan adabnya yang berhemah, berbudi bahasa dan sopan. Malahan tutur bicaranya juga lembut, perlahan dan penuh kebaikan. Tetapi balasan si nenek tua itu amat memeranjatkan saya. Bukan sahaja membalas dengan meninggi suara, menengking-nengking pula. Tidak sudah dengan itu, kata-katanya penuh dengan maki hamun dan menghina si anak muda tadi. Dapat saya bayangkan perasaan malu yang terpaksa ditanggung anak muda itu tadi.
                Terfikir di dalam hati saya, kenapakah si nenek tua tersebut perlu memberikan respon yang sebegitu atas teguran baik anak muda tersebut telah lakukan? Apakah yang cuba nenek tua itu buktikan? Dengan reaksi sebegitu rupa, bukankah ianya lebih menggambarkan ciri-ciri negetif yang ada padanya? Dimana caranya tersebut menunjukkan si nenek tua itu berkelakuan tidak elok dan tidak boleh dicontohi langsung. Mungkin juga boleh menimbulkan rasa marah dan tidak hormat kepadanya walaupun usianya sudah tua. Atau, dek kerana berasa ego dengan usianya yang sudah tua itu maka dia merasakan dirinya tidak boleh ditegur walaupun dia ternyata bersalah dan ditegur secara baik!
                Paling menyedihkan saya ialah diakhir bicara nenek tua tersebut dia berkata sesuatu kepada anak muda itu yang sekali gus menjawab segala persoalan yang bermain difikiran saya itu tadi: "Aku ni orang tua. MANA ADA BUAT SALAH! Aku yang makan garam lebih banyak pada kau, apa yang kau tahu? Memandai saja nak mengajar aku! Hormatlah sikit orang tua! Kurang ajar punya budak..." . Benarlah, kerana dia lebih tua usianya maka dia berasakan dirinya tidak lagi layak untuk ditegur. Ya Allah, ampunkanlah nenek tua itu. Begitu hebat Kau mengujinya sehinggakan dia sedikit terlupa akan kuasa lidahnya itulah nanti yang bakal menentukan syurga atau neraka buat dirinya. Namun, terserahlah pada Allah untuk menilai dan menentukannya. Saya hanya manusia yang mungkin menilai mengikut pandangan saya sahaja kerana keterbatasan pengetahuan saya. Tetapi Allah itu Maha Mengetahui segalaNya.
                Pada pandangan saya, tua atau muda bukan pengukur untuk menilai siapa salah dan siapa betul. Yang bersalah tetap bersalah tidak kiralah usianya tua atau muda! Dan, jika bersalah redhalah sekiranya diri ditegur tambahan pula jika teguran tersebut diberikan secara tulus dan penuh kebaikan. Maka berlapang dadalah untuk menerimanya. Bukankah begitu lebih baik daripada membalas dengan cara yang negetif? Lagipun, sekiranya Allah ingin menimpakan balasaNya ke atas kita, bukannya dilihat pada rupa paras, usia, pangkat atau darjat kita. Allah tetap akan menghukum sesiapa sahaja setimpal dengan perbuatan kita di dunia ini tidak mengira apa juga alasannya. Dengan itu, walaupun muda atau tua seseorang itu lidahnya mesti di jagai dengan baik agar  terhindar daripada golongan yang dimurkai Allah S.W.T.
                Kebanyakkan anak muda yang dilahirkan pada zaman sekarang ini pun telah dilahirkan di dalam dunia yang serba berpengetahuan dan celik ilmunya. Malahan, ada sesetengah daripada mereka ini mempunyai ilmu pengetahuan agama yang lebih mendalam daripada orang tua yang ada sekarang. Jadi, sekiranya begitu mengapa pula orang yang tua tidak dapat menerima dengan baik teguran atau pendapat yang diberikan oleh anak muda pada zaman sekarang? Dan, mengapa mereka yang lebih berusia ini perlu merasakan hanya pendapat mereka sahaja yang betul dan perlu diikut walaupun salah, serta berasa diri sendiri sahaja yang betul dan tidak pernah berasa bersalah? Jika difikirkan, tidak bolehkah golongan ini berlapang dada, berfikiran terbuka dan sesekali merendahkan diri dan beralah sahaja bagi menerima pula pendapat orang yang lebih muda? Bukan untuk tujuan memperkecil atau menyinggung mereka...tetapi untuk kebaikkan mereka dan membaiki kesalahan sementara masa masih ada. 
                Satu lagi perihal lidah yang seringkali menyebakan saya sakit hati dan terasa hati ialah apabila kita berbicara dengan 'Si Pemenang'. Apa yang saya maksudkan dengan 'Si Pemenang' di sini ialah seseorang yang apabila berbicara dengannya, lidah dia hanya menceritakan tentang kehebatan dirinya, kelebihannya, bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk dengan apa yang dimilikinya. Boleh dikatakan orang sebgini ini, seperti sombong dan meninggi diri pun ada juga! Nauzubillah...Ya Allah, hindarkanlah saya daripada sifat-sifat sebegitu. Ini kerana, sesungguhnya Allah S.W.T. melaknati syaitan dan iblis itu kerana sifat sombong mereka yang merasakan diri lebih hebat kerana diciptakan daripada api maka tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam a.s yang diciptakan Allah daripada tanah.
                Apabila berbicara dengan orang sebegini, sememangnya tiada suatu perkara pun yang kita akan menang. Semua pun akan dia lebih menang berbanding dengan kita. Jika orang ada, sudah semestinya dia pun akan milikinya juga! Malahan apa yang dipunyainya itu sudah pastilah lebih hebat, lebih baik, lebih cantik, lebih bagus, lebih berkualiti, lebih moden dan mungkin juga lebih canggih daripada orang lain. Bukan tujuan saya memburuk-burukkan golongan sebegini, tetapi sekadar untuk merenungkan diri sendiri juga. Adakala apabila berbicara dengan mereka ini boleh buat kita tergelak besar dengan kelakuan mereka itu, tetapi sebenarnya jauh di sudut hati saya merasakan kasihan dan berdoa semoga dia menyedari akan keterlanjuran bicara lidahnya itu. Ini kerana ianya bukan sahaja boleh menyebabkan orang lain yang mendengarnya terasa hati, memendam rasa dan tidak menyukainya malahan pada pendapat saya Allah juga tidak suka. Wallahualam...
                Pada saya sikap sebegini bukan sahaja boleh membawa seseorang itu ke arah bermegah diri tetapi boleh juga menjerumuskan dirinya untuk menipu juga. Ini kerana, demi menjaga maruah diri dan enggan beralah, 'Si Pemenang' ini mungkin akan mereka-reka cerita dan mengada-adakan sesuatu yang mungkin mereka tidak punyai, tidak pasti atau tidak berlaku. Jika kita fikirkan mengapa meraka ini boleh menjadi sebegitu? Jawapannya mudah sahaja iaitu kerana ingin berasa diri dihormati dan dipandang tinggi oleh orang lain serta keegoan yang diselaputi dengan rasa tidak mahu dipandang hina dan direndah-rendahkan oleh orang sekeliling mereka. Mereka ini akan lebih senang hati dan gembira jika orang melemparkan kata-kata pujian dan berbangga dengan apa yang mereka ada. Sedangkan disebalik itu, apakah mereka tidak fikirkan kesan atas tindakan lidah mereka itu jika sekiranya kebenaran terbongkar suatu masa nanti bukankah mereka juga akan mendapat malu?
                Jadi, nasihat saya sekiranya berhadapan dengan golongan sebegini janganlah kita turut memukul gendang mengikut rentak seperti mereka. Bertikam lidah untuk bertanding hebat antara satu sama lain dan tidak ada pula yang mahu beralah. Jika kita pun sama seperti mereka, bimbang pula situasi yang negetif dan lebih buruk akan berlaku seperti mula merasa dengki dan iri hati dan bertindak diluar jangkaan kewarasan akal fikiran kita. Lebih elok jika kita ini berdiam diri atau mengiyakan sahajalah bicara mereka itu. Ingatlah semula pesanan Rasulullah, bukankah berkata yang baik atau berdiam diri itu lebih elok? Ada juga sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa diam itu umpama emas. Orang yang lebih bijak akan sentiasa menjaga lidahnya dan kurang bicaranya tetapi banyak kerjanya. Sebaliknya orang yang lemah itu banyak pula berbicara, tetapi kerjanya kurang. Buatlah pilihan untuk diri kita sendiri orang yang bagaimana kita ingin jadi!
                Seboleh-bolehnya, walaupun kita mampu janganlah kita menunjuk-nunjuk dengan kemampuan kita itu. Hidup biarlah besederhana. Mampu, tapi tak mahu! Itu lebih afdal. Bukan apa, jika sudah menunjuk-nunjuk bimbang lidah kita terlanjur bicara dan tidak dapat dikawal pula. Takut Allah akan murka pada kita semata-mata angkara si lidah yang menjadi kunci segla urusan di dunia. Akhir penulisan, yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk itu kelemahan saya semata-mata. Coretan ini hanyalah sekadar luahan dan pandangan saya semata-mata kepada perkara-perkara yang saya rasakan remeh bagi sesetengah individu tetapi kesannya amat mendalam buat ramai pihak. Jauhilah perkara yang tidak elok terutama apabila hidup bermasyarakat ini. Tidak semua orang boleh menerima kita, pendapat kita dan sehaluan dengan kita. Maka, berhati-hatilah terutama apabila berbicara. InsyaAllah, semoga Allah melindungi kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan hati kita dan menjauhkan Dia daripada kita...Amin...
Sekian sahaja dahulu, wassalam...