Isnin, 27 Ogos 2012

...RINDUKAN RAYA DULU-DULU...

Assalamualaikum wbt...
 
Rasanya kehangatan beraya masih lagi menebal dalam hati setiap orang buat masa sekarang ini. Maklumlah, baru seminggu yang lepas kita menyambut hari lebaran tersebut. Semoga lebaran kalian semua untuk tahun ini adalah yang terbaik daripada yang lepas-lepas. Apapun...bagi saya dan keluarga, Alhamdulillah...raya kami sekeluarga juga agak meriah walaupun hanya beraya di perantauan dan mengharungi hari raya bersama anak-anak tercinta sahaja tanpa kaum keluarga, saudara mara yang lain.
 
Menyebut tentang beraya ini, saya terkenangkan suasana beraya di kampung sewaktu kecil-kecil dahulu. Memang jauh bezanya jika dibandingkan dengan suasana hari raya pada hari ini. Melihat gelagat anak-anak sendiri yang seronok bermain bunga api, terasa kesian pula kepada mereka kerana mereka tidak dapat merasai suasana beraya sepertimana yang saya rasai dulu-dulu. Kalaulah masa dapat diputarkan...
 
Apabila raya menjelma, paling kalut sekali antara kami sekeluarga ialah nak pilih kampung belah siapa yang nak balik dahulu untuk menyambut raya pertama. Belah mami di Ayer Lanas, Jeli ke atau di Kubang Batu, Pasir Mas sebelah abah? Masing-masing bertegang urat membentangkan pendapat masing-masing. Ada yang sampai merajuk-rajuk. He3...Dan, kebiasaannya kalau tak silap saya...kami lebih banyak beraya pada hari pertama raya di sebelah mami di kampung Ayer Lanas, Jeli. Nak buat macam mana, pilihan majoriti. Sebabnya?...entahlah, mungkin disebabkan kami adik beradik memang lebih selesa dan rapat dengan atuk (dipanggil Che) dan nenek (dipanggil Mok) sebelah mami lagi kot...=) Jangan ada yang terasa hati pula ya...
 
Kami pulang ke kampung, biasanya sehari dua sebelum raya menjelma. Maka, bolehlah kami berbuka puasa dan ke surau bersembahyang terawih beramai-ramai dahulu bersama sanak saudara sebelum menyambut raya. Seronok sangat bila berbuka puasa beramai-ramai ini. Meriahnya rumah Mok dan Che tu...Hanya Allah sahaja yang tahu. Paling seronok sekali kami yang masih kanak-kanak inilah. Mana tidaknya, beramai-ramai bersama sepupu sepapat memasang pelita dan bermain bunga api. Sesudah main bunga api, main kejar-kejar pula...apalagi, habis debu pasir sekeliling rumah naik ke udara. Kalau yang  remaja perempuan pula...suka sangat berkurung sahaja dalam bilik sambil bergosip-gosip. Entah apa yang digosipkan...kadang-kadang sampai pukul 1...2 pagi pun masih belum tidur!
 
Dahulu sepupu sepapat memang berhubung rapat antara satu sama lain. Ini kerana boleh dikatakan seringkali hampir setiap minggu ibubapa masing-masing pulang ke kampung untuk bersama-sama keluarga bagi mengeratkan lagi sillaturrahim. Jadi, kami telah membesar bersama-sama tanpa segan silu sudah seperti adik beradik kandung sendiri. Tetapi kalau diperhatikan sekarang...kanak-kanak sekarang ini, sepupu sendiri pun tak pernah nak kenal batang hidung. Mana tidaknya...ibu bapa masing-masing sibuk bekerja...jadi tiada masa untuk kerap pulang ke kampung bagi bersatu bersama semua keluarga macam dulu-dulu. Kecil-kecil lagi tidak pernah berjumpa dan bermain bersama...jadi, bila sudah besar semuanya duk menyegan dan malu-malu. Terus tak bertegur sapa...akhirnya makin rengganglah ikatan keluarga! 
 
Kalau kami adik beradik pulang ke rumah sebelah abah di Pasir Mas, rumah Mek (panggilan untuk nenek) dan Ayah (panggilan untuk atuk)...kami sebenarnya lagi seronok untuk bermain bersama-sama sepupu sepapat di sana sebab lebih ramai jumlahnya. Tetapi di sana ada sedikit kongkongan...maklumlah Mek itu garang sedikit orangnya. Kalau ada yang tak kena, ditegurnya sahaja depan-depan. Terkulat-kulatlah kita kat situ! Kalau nak tahu garang tak garang dia...sekiranya di ketuk sahaja dinding papan rumah itu...mahu senyap semua orang tak terkata! Jadi, adakalanya pergerakkan itu terasa tidak bebas dan terbatas. Takut-takut kena marah...he3...Yalah, sampai berjalan di dalam rumah pun kena perlahan-lahan sebab takut lantai berbunyi...maklumlah rumah kayu...=)

Malam menjelang raya, satu rumah pasti akan terang benderang dengan suasana meriahnya tak terkata. Mana tidaknya...kalau yang kanak-kanak ini sudah tentulah bermain sahajalah yang mereka pandai buat. Tetapi bagi yang dewasa, mak-mak saudara dan bapa-bapa saudara...semuanya sibuk saling membantu untuk membuat persiapan sempena menyambut hari raya esoknya. Paling sibuk tentulah emak-emak saudara. Di dapur paling kecoh. Menyembang pelbagai topik sambil memasak dan menyiapkan juadah untuk diberi makan pagi raya. Sesekali terdengar gelak tawa, sesekali terdengar jeritan...ada masakan hampir hangus...atau terlupa nak masukkan bahan apa-apa...ada juga yang ketikanya berbisik-bisik sahaja. Kalau yang bapa-bapa saudara ini pula, kerjanya yang senang-senang sahaja. Sesudah buat kerja...pasti akan duduk berkumpul antara mereka di anjung depan rumah...apalagi, main daun terup...mengisi masa lapang dan sekadar berseronok adik beradik.  
 
Pagi raya biasanya, semua akan bangun seawal pagi dan mandi beramai-ramai di bilik mandi yang besar sememangnya dibuat untuk anak-anak cucu yang ramai. Dan yang bestnya, ada sebuah perigi di dalamnya. Kalau dah tak larat berebut air paip, air hujan...nah, air perigi pun jadilah. Sejuknya tak terkata. Menggigil seluruh badan. Terasa segar dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Kemudian kami akan disiapkan oleh emak masing masing dengan pakaian yang baru dan cantik-cantik. Kalau kanak-kanak perempuan ini mesti akan ada yang rajin untuk menyolek-nyolek supaya bagi lagi cantik dan comel sikit. Lepas itu, beramai-ramai ke masjid berdekatan atau surau untuk tunaikan sembahyang raya. Pergi berjalan kaki sahaja, sebab kalau balik nanti boleh terus singgah rumah-rumah jiran sekampung untuk beraya.

Beraya di kampung yang sememangnya kampung betul-betul kampung...bukan seperti sekarang, kampung yang sudah moden...memang sangat menggembirakan. Tak dapat diluahkan dengan kata-kata macam mana gembiranya waktu itu. Jiran-jiran juga semuanya baik-baik dan tidak sombong. Rumah terbuka untuk sesiapa sahaja dan kalau bab duit raya itu, memang senang nak dapat. Dahulu 50sen masih bernilai. Jadi, paling kurang dapat 50sen pun sangat bersyukur dan senang hati. Dah rasa cam kaya raya dah. Tetapi sekarang...minimum nak bagi 2ringgit pun...kanak-kanak dah persoal..."alaaa, 2 ringgit jer?"...Tak ke tension namanya tu?...Nanti bila dah habis beraya, masing-masing pakat kira duit raya yang dapat dan bandingkan siapa yang lebih banyak.

Hai...masa berlalu tersangatlah pantas. Semua itu tak mungkin dapat diulang lagi. Tetapi itulah...yang berlalu biarlah berlalu. Jadikan kenangan terindah di dalam sanubari. Kita yang dah jadi ibubapa zaman sekarang ini, sebolehnya cubalah wujudkan kembali suasana itu. Sekurang-kurangnya amalan sembahyang raya dan kunjungi sanak saudara serta membuat sedikit juadah di hari raya itu perlulah diteruskan. Kalau tak boleh banyak pun, sikit pun jadilah. Bukan apa...takut-takut suatu masa nanti, suasana hari raya ini terus tenggelam dek arus masa. Hari raya dah jadi macam hari cuti biasa. Duduk sahaja di rumah...tengok tv cerita raya.

Baiklah, sampai di sini sahaja dahulu. Kalau diikutkan hati panjang lebar lagi nak ditulis. Tapi dah tak larat dah mata nak buka. Semoga sesiapa yang membaca ini gembira sekiranya ia menggembirakan hati anda, jangan bersedih-sedih kalau ianya menyedihkan anda dan jangan pula dikutuk-kutuk kalau ya pun tidak sukakannya. Saya menulis sekadar luahan hati sahaja. Maklumlah, dah lama tak beraya di kampung. Sebab itulah, terasa RINDUUUU sangat akan suasana raya dulu-dulu...wassalam...=)
 
 

Selasa, 14 Ogos 2012

...SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...

Assalamualaikum,

Sudah sekian lama rasanya jari-jemari ini tidak menaip mencatatkan apa-apa di ruangan blog TATKALA HATI BERBICARA ini. Maklumlah, bulan puasa yang dilalui diambil peluang sebaiknya untuk melakukan perkara-perkara yang lebih berfaedah disamping menumpukan sepenuh masa terhadap anak-anak yang masih kecil.

InsyaAllah, harap-harap berkat usaha saya di dalam bulan puasa yang mulia itu...adalah rezeki untuk saya memulakan suatu peluang kerjaya yang baru iaitu untuk menjadi seorang penulis buku...terutama buku-buku latihan tentang subjek Biologi bagi para pelajar matrikulasi.

Sayang pula rasanya jika ada ilmu tetapi tidak diluahkan atau dikongsikan bersama-sama...dan sekadar berkarat di dalam minda sendiri. Serba salah dan rasa terbeban pula apabila tidak dapat menurunkan dan berkongsi ilmu tersebut kerana di dalam diri ini sememangnya sudah sebati berjiwa pendidik.

Emm...pejam celik-pejam celik, rupanya sudah pun tiba masanya untuk Ramadhan Al-Mubarak meninggalkan kita. Sedihnya hati mengenangkan pemergian bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini. Mungkinkah saya berkesempatan untuk menemuinya kembali setahun lagi? Harap-harap panjang umur dapatlah merasai kemanisan bulan Ramadhan lagi...

Dalam sehari dua lagi umat islam akan menyambut hari kemenangan mereka setelah sebulan berjuang berpuasa. Maka dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua yang mengenali diri ini. Ampunkanlah saya sekiranya ada tersalah, tersilap, terkasar bahasa, tersalah gurauan sehingga melukakan hati anda semua tanpa saya sedari. Saya hanya manusia yang kerdil penuh dengan kesalahan yang memerlukan kemaafan.

Seperti 2 tahun yang lepas, kali ini pun saya masih tidak berpeluang untuk pulang untuk bersama-sama keluarga di kampung bagi meraikan hari yang penuh kegembiraan tersebut. Tidak mengapalah, ada perkara yang lebih penting yang perlu saya penuhi iaitu ketaatan kepada suami yang perlu bekerja di hari raya. Sedih dan rindu di hati hanya Allah SWT yang tahu...namun, semuanya bukan bermakna nokhtah terakhir bagi diri saya kerana jika ada masa lapang nanti, insyaAllah saya akan pulang juga suatu hari nanti...tidak semestinya hanya pulang di hari raya sahaja.

Bagi menyatakan perasaan hati ini, saya tujukan sebuah lagu yang cukup indah dan merdu bertepatan dengan kata hati ini buat semua...terutama ahli keluarga tersayang. Semoga apabila kalian mendengar lagu ini di hari raya nanti, maka teringatlah akan saya...Pesanan saya, berayalah seadanya dan berwaspadalah dalam kegembiraan tersebut. Jangan terlampau gembira hingga lupa diri pula ya!

Sekali lagi, SALAM AIDILFITRI...MAAF ZAHIR DAN BATIN...



AIR MATA SYAWAL...Siti Nurhaliza:

Sayu...Hati Ini Makin Sayu
Rindu...Terkenagkan Desa Permai
Wajah Ayah Bonda
Bermain Di Mata
Mengajak Ku Pulang Ke Desa
Di Hari Bahgia...Hari Raya

Lama Ku Tunggu
Bertemu Di Pagi Mulia
Namun Tidak Ke Sampaian
Air Mata Jatuh Berlinangan

Ku Ingin Berulang
Manisnya Bersama
Menyambut Hari Bahgia
Jarak Memisahkan
Rindu Pertemuan
Bilakah Hasrat Jadi Nyata

Duhai Ayah Bonda
Ampunkan Anakanda
Tak Dapat Beraya Bersama
Jauh Dari Mata
Dekat Dalam Jiwa
Teguh Kasihku Tidak Berubah.



Ikhlas dari;
Aiza Sharmimi dan keluarga.
(Mohd Nadhir, Nadhirah dan Nadhrah)